KUALA LUMPUR – Pelakon dan pengarah, Ellie Suriaty Omar, 54, mencadangkan semua pementasan teater di negara ini menjalani proses tapisan Kementerian Dalam Negri (KDN) bagi memastikan karya tidak menyentuh sensitiviti berkaitan Rukun Negara Serta Institusi Raja.
Ellie berkata, cadangan itu dikemukakan susulan isu pementasan sebuah kumpulan teater yang kembali tular di media sosial, baru-baru ini, termasuk kandungan yang didakwa memperolok-olokkan Rukun Negara dan institusi diraja.
“Saranan saya mungkin agak keras, tetapi selepas berlaku pementasan teater yang sangat merosakkan nama baik Malaysia, mungkin setiap penerbitan, tidak kira teater Melayu, Inggeris, Cina atau Tamil, semua harus melalui KDN.
“Begitu juga dengan filem, apa-apa filem yang bersangkut paut dengan polis, askar dan senjata api perlu melalui Bukit Aman.
“Jadi, teater seharusnya melalui proses sama di mana KDN perlu tapis terlebih dahulu skrip bagi mengelak naskhah yang boleh menjejaskan kerukunan dan keamanan rakyat,” katanya ditemui pada majlis pratonton telefilem Miselia di Angkasapuri Kota Media di sini, Selasa lalu.
Ellie berkata, insiden teater ‘panas’, This Is Malaysia yang didakwa berlaku pada 2017 dan kembali mendapat perhatian baru-baru ini perlu dipandang serius kerana kandungannya menyentuh prinsip Rukun Negara.
Tambah Ellie, KDN dan Kementerian Komunikasi juga wajar menyiasat pihak yang membiayai pementasan berkenaan bagi mengetahui latar belakang serta tujuan karya itu dihasilkan.
“Kementerian Komunikasi harus menyiasat siapakah pembiaya yang membiayai projek teater itu.
“Ini sangat spesifik, bukan karya yang rawak kerana mereka memang nampak seperti sengaja mahu menghentam Rukun Negara,” katanya.
Ellie menyifatkan kandungan sedemikian sebagai ‘jarum-jarum halus’ yang berpotensi mempengaruhi pemikiran kelompok tertentu, khususnya apabila Rukun Negara dijadikan bahan ejekan.
“Jangan kita lupa, Rukun Negara digubal pada 1970 untuk menyatupadukan semula kaum selepas peristiwa 13 Mei 1969.
“Rukun Negara adalah benteng keselamatan negara. Jika ada kumpulan yang mengejek kedaulatan undang-undang dan raja, adakah mereka cuba memberi idea untuk menjatuhkan institusi beraja kita?” tegasnya.
Ellie berkata, tindakan kumpulan teater This Is Malaysia juga perlu disiasat pihak berkuasa sekiranya didapati melanggar undang-undang.
“Ini adalah satu kesalahan yang serius dan patut disiasat.
“Rukun Negara diajar kepada budak sekolah, tetapi kumpulan itu sesuka hati mengejek segala yang ada dalam Rukun Negara.
“Apabila mereka mengejek soal kedaulatan undang-undang, soal raja dan sebagainya, jadi KDN kenalah siasat,” katanya.
Tegas Ellie, cadangan memperketatkan syarat pementasan bukan bertujuan menyekat kreativiti penggiat seni, sebaliknya sebagai tanggungjawab bersama dalam memelihara keluhuran Perlembagaan serta nama baik Malaysia.
Pementasan teater This Is Malaysia kembali menjadi perhatian selepas rakaman kira-kira 10 minit daripada pementasan berkenaan, tersebar di media sosial.
Video itu memaparkan lima pelakon membacakan prinsip Rukun Negara yang diselang-seli dialog dan kenyataan yang menyentuh sensitiviti kaum.
Susulan penularan video berkenaan, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman mengambil alih siasatan, manakala tiga daripada lima pelakon yang dikenal pasti ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sementara itu, telefilem Miselia arahan Nor Ashikin yang mengangkat isu kesihatan mental, menampilkan Niezam Zaidi dan Shiqin Kamal sebagai pelakon utama. Selain Ellie, telefilem ini dibintangi Azhar Sulaiman, Tony Eusoff, Adam Shahz, Irfan Zaini, Zarul Umbrella, Jessie Lim dan Ali Jamalullail.
Telefilem Miselia akan disiarkan TV1 pada 10 Oktober jam 9 malam dan boleh distrim distrim menerusi RTMKlik.
Sumber – Berita Harian





