Pelawak, Amir Raja Lawak menegur sikap segelintir individu yang gemar meminta bantuan atau sumbangan tanpa berusaha untuk mencari rezeki terlebih dahulu.
Amir menerusi hantaran di Instagram berpendapat, mereka seharusnya berusaha terlebih dahulu dengan melakukan kerja-kerja yang mampu mendatangkan pendapatan walaupun kecil.
Malah, Amir juga berkongsi pengalaman dirinya yang tidak malu untuk mencari pendapatan sampingan dengan menjual barangan terpakai di pusat besi buruk sehingga memperoleh wang hasil titik peluh sendiri.
“Cari duit tepi, jual barang dekat besi buruk, alhamdulillah dapat rm18.
“Yang duk inbox mintak sumbangan nak beli susu anak, laki tak boleh pergi kerja sebab motor rosak tu tak cuba ke kutip tin, kutip kotak, cari besi untuk jual?
“Jalan kaki pun boleh, bawak kereta sorong ke. Tak kan lah malu cari rezeki cara macam ni, tapi tak segan inbox orang lain mintak sumbangan nak beli susu anak sebab laki tak boleh pergi kerja motor rosak,” katanya.

Bagaimanapun, Amir mengakui setiap individu mempunyai ujian dan kesusahan berbeza, namun mereka tidak seharusnya malu mencari rezeki walaupun melalui pekerjaan yang kecil.
“Ya betul struggle kita tak sama, tapi selagi ada daya, tak salah kan usaha?
“Saya yang orang kenal ni pun niaga air jagung tepi jalan juga,” luahnya.





