KUALA LUMPUR – Kes kematian pelajar Tingkatan Empat, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal yang disyaki dibunuh di dewan sekolah di Yong Peng, Johor, kelmarin, perlu menjadi ‘amaran’ kepada semua pihak agar aspek keselamatan di institusi pendidikan terus diperkukuh.
Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, satu lagi kes direkodkan yang menambah episod duka dan suram membabitkan tragedi kematian dalam kawasan sekolah.
Katanya, langkah keselamatan di sekolah perlu dipertingkatkan dengan semua pihak memainkan peranan masing-masing seperti melakukan pemantauan dan kawalan keluar masuk yang ketat untuk menjaga keselamatan dalam kawasan sekolah.
“Apabila kesiapsiagaan daripada masuk pagar sekolah diperlihatkan, ia menghantar mesej jelas kepada pelajar mahupun ibu bapa bahawa sekolah berkenaan benar-benar mengutamakan keselamatan dalam kawasan persekolahan.
“Pengawal keselamatan perlu diberi latihan lebih baik supaya dapat mempamerkan sikap serius dan disiplin tegas.
“Ketika ini, pengawal keselamatan sekolah hanyalah mereka yang diupah oleh syarikat kawalan keselamatan tanpa identiti yang menepati ciri keselamatan.
“Masih dapat dilihat (ada segelintir) pengawal keselamatan ditugaskan di pondok hadapan sekolah ialah wanita berusia, remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau warga emas yang hanya diharapkan untuk mencatat kehadiran dan membuat rondaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, pihak berkenaan boleh mempertimbangkan untuk menawarkan peluang pekerjaan pengawal sekolah kepada pesara badan beruniform seperti bekas polis, tentera atau mereka yang lebih berdisiplin, sekali gus memperbaharui imej penjaga sekolah yang menjadi muka depan keselamatan sesebuah sekolah.
“Ditambah dengan langkah memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan pemantauan berterusan oleh bekas penjawat awam berpengalaman, ini akan membesarkan skop penjagaan keselamatan di mana sekolah dapat dipantau dengan lebih meluas.
“Pemasangan CCTV di dewan, tangga, laluan sunyi atau belakang bangunan yang kurang dipantau menjangkau luas segala aspek keselamatan di sekolah.
“Ditambah dengan rondaan berkala yang bukan sahaja dilakukan oleh pengawal tetapi guru bertugas akan memastikan keselamatan dapat dipertingkat dan kecemasan dapat dicegah,” katanya.
Lam Thye berkata, langkah intervensi awal juga perlu bagi menghalang sesuatu kejadian daripada berlaku dan tindakan pantas terhadap ugutan, buli, mahupun konflik harus ditangani dengan segera.
“Setiap laporan mengenai ugutan atau pergaduhan mesti disiasat dengan segera dan perlu diambil serius dengan memastikan semua permasalahan dirujuk kepada guru disiplin, kaunselor serta ibu bapa.
“Selain itu, setiap guru perlu diberikan latihan mengenai aspek keselamatan. Guru terlatih dan pengenalan sistem kecemasan yang jelas akan membantu dalam proses membabitkan keselamatan.
“Wujudkan satu prosedur membolehkan guru mendapatkan bantuan keselamatan apabila berlaku bahaya dapat membantu mencegah daripada kecemasan lebih serius,” katanya.
Sumber – Berita Harian





