Sunday, November 16, 2025
HomeBERITASeramai 1,333 PATI Ditahan Di Perairan Langkawi Sejak 2020

Seramai 1,333 PATI Ditahan Di Perairan Langkawi Sejak 2020

LANGKAWI – Sebanyak 1,333 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan 24 tekong laut ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan sekitar Langkawi dan Kedah sejak tahun 2020 hingga Oktober 2025.

Statistik menunjukkan sepanjang tempoh enam tahun itu, sebanyak sembilan kes kemasukan PATI direkodkan, dengan sebahagian besar melibatkan pelarian Rohingya yang menjadikan perairan Langkawi sebagai destinasi transit utama sebelum cuba memasuki tanah besar.

Tahun 2020 mencatatkan jumlah tertinggi apabila enam kes tangkapan dilakukan membabitkan 778 PATI dan 20 tekong laut di beberapa lokasi sekitar perairan Langkawi.

Selepas kawalan sempadan diperketat, tiada sebarang kes direkodkan pada tahun 2021, 2023 dan 2024.

Namun pada 2022, maritim menahan 119 PATI dan empat kru di perairan Langkawi dan Kuala Kedah.

Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2025, seramai 196 PATI dikesan mendarat di Pantai Teluk Yu, Langkawi manakala 240 PATI berjaya ditahan di perairan Pulau Rebak Besar, selain dua bot Rohingya yang cuba menceroboh diusir keluar oleh kapal peronda KM Tenggol ke sempadan Malaysia –Thailand.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, kedudukan geografi Langkawi yang berhampiran sempadan Thailand menjadikan pulau itu antara laluan utama digunakan kumpulan PATI untuk memasuki perairan Malaysia.

“Langkawi ini bukan tempat mereka untuk tinggal secara tetap. Biasanya mereka singgah seketika sebelum dibawa ke lokasi lain oleh ejen atau pihak tertentu yang berperanan sebagai ‘penghubung geografi’,” katanya.

Tambahnya, kebanyakan PATI terbabit didakwa melarikan diri dari negara asal disebabkan faktor penindasan dan kesukaran hidup.

“Mereka sanggup mengharungi perjalanan berisiko tinggi di laut tanpa jaminan keselamatan, malah sanggup membayar sehingga RM13,000 kepada sindiket untuk dibawa masuk ke Malaysia.

“Apabila melihat ramai rakan senegara yang sudah berada di Malaysia melalui media sosial seperti TikTok, ia menjadi pendorong kepada mereka untuk turut sama datang,” ujarnya.

Tambah beliau, sindiket pemerdagangan manusia lazimnya merancang pergerakan berdasarkan corak cuaca dan keadaan laut bagi memastikan kumpulan PATI tiba dengan selamat ke perairan negara.

“Itu corak yang kami kesan. Berdasarkan trend ini, Maritim Malaysia melaksanakan Ops Guard 5.0 sejak tahun 2022 bagi memperkukuh kawalan sempadan maritim,” katanya.

Sumber – Sinar Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Walau Sedang Berpantang, Yana Samsudin Hadir Terima Ijazah Sarjana

0
"Sepatutnya hari ini saya bersalin… tapi takdir memberi saya peluang menjejak pentas konvokesyen!" Demikian kongsi, pelakon dan penyanyi, Yana Samsudin selepas selesai istiadat konvokesyen untuk...

CATEGORIES