SETIU: Dua beranak antara empat lelaki ditahan penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dalam operasi di daerah ini semalam kerana ponteng solat Jumaat.
Difahamkan, dua beranak berkenaan meninggalkan solat Jumaat untuk menjaga gerai menjual anggur di Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, dekat Sungai Tong, di sini. Dua lagi yang ditahan juga penjaja.
Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan JHEAT, Aizi Saidi Abd Aziz, berkata mereka berusia 17 hingga 54 tahun ditahan selepas pemantauan dilakukan penguat kuasa syariah wanita bermula jam 1.30 tengah hari sehingga selesai solat.
“Mereka ditahan mengikut Seksyen 16 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 (pindaan 2016), kira-kira jam 2 petang selepas didapati tidak ke masjid untuk solat Jumaat.
“Empat lelaki berkenaan kemudian dibawa ke Pejabat Agama Daerah Setiu untuk tindakan lanjut sebelum dibebaskan dengan bon jamin hadir ke mahkamah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, lelaki mukalaf yang tidak menunaikan sembahyang Jumaat di masjid kecuali disebabkan keadaan dibenarkan hukum syarak, melakukan kesalahan yang boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.
Menurut Aizi Saidi, pemantauan ke atas individu Muslim yang tidak menunaikan solat Jumaat dilakukan Bahagian Penguatkuasaan JHEAT dengan kerjasama pegawai penguat kuasa syariah Setiu dan Besut.
“Kira-kira 30 penguat kuasa ke pasar pagi di Pantai Rhu 10, di sini, turut menjalankan kempen pencegahan jenayah syariah dengan mengedarkan risalah kepada orang ramai,” katanya.
Sumber : Berita Harian





