JOHOR BAHRU, 9 Oktober 2025 – Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Pertahanan, Datin Roszanina binti Wahab, hari ini telah merasmikan Persidangan Pengurusan Tatatertib Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) Tahun 2025 pada 9 Oktober 2025 (Khamis) yang berlangsung di Citrus Hotel, Johor Bahru.
Persidangan yang dianjurkan oleh Unit Integriti, Kementerian Pertahanan Malaysia ini menghimpunkan seramai 32 orang Pegawai Tadbir Awam dari seluruh negara. Penganjuran program ini bertujuan untuk memperkukuh kefahaman dan kesedaran kerohanian mengenai kepentingan integriti serta tatakelola yang baik dalam kalangan warga Kementerian Pertahanan.
Sepanjang tahun ini, MINDEF telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkukuh budaya integriti dalam perkhidmatan awam. Antara inisiatif tersebut termasuklah Program Pengukuhan Integriti dalam Perkhidmatan Awam, Program Smart Integriti, serta Taklimat Pengurusan Tatatertib yang memberi tumpuan kepada peningkatan nilai etika dan akauntabiliti warga kerja pertahanan.
Selain itu, MINDEF turut menekankan kepentingan amalan peringatan berterusan kepada semua warga kerja agar sentiasa mematuhi peraturan serta undang-undang yang berkuat kuasa. Langkah ini diambil bagi mengelakkan sebarang pelanggaran tatatertib atau tindakan perundangan yang boleh menjejaskan imej serta integriti organisasi.
Turut hadir ialah Ketua Unit Integriti, Kementerian Pertahanan, Tuan Ramli bin Hassan, Bersama para pegawai dan kakitangan kementerian.