Pernah Hidap Busung Katak, Jaafar Onn Akhirnya Pergi Jua

0
292
Foto: Utusan Malaysia

Muar: Pelakon dan pengacara Allahyarham Jaafar Onn, 73, pernah dua kali menghidap busung katak menyebabkan perut buncit, namun kembali sembuh selepas menjalani rawatan tradisional.

Perkara itu didedahkan kakaknya, Puteh Awang, 80, memaklumkan busung ketiga dikenali busung labu menyebabkan arwah sukar untuk membuang air kencing.

“Ketika menghidap busung labu, doktor terpaksa memasukkan ubat supaya arwah boleh membuang air. Bayangkan sebelum itu, arwah kerap menahan kesakitan kerana penyakit ini sukar diubati.

“Sebab itu kesihatannya semakin merosot walaupun pada zahirnya, dia tidak merasai kesakitan seperti mereka lain,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga mereka di Batu 3, Tanjung Gading, di sini, hari ini.

Puteh adalah kakak sulung, manakala arwah anak bongsu daripada tiga beradik.

Dalam pada itu, Puteh berkata, kali terakhir dia bertemu arwah adiknya pada 2 Ramadan lalu ketika pulang ke kampung ini.

Katanya, ketika itu, dia melihat perubahan fizikal arwah yang semakin susut serta berkerusi roda.

“Arwah pulang ke kampung pada dua hari puasa, terkejut saya tengok keadaannya. Badan kurus, terpaksa naik kerusi roda.

“Walaupun begitu, dia kelihatan ceria, malah sempat memberitahu supaya mendirikan khemah di halaman rumah untuk kami anak beranak menyambut Syawal nanti,” katanya.

Sementara itu, Puteh berkata, mereka sekeluarga sepatutnya berangkat ke Kuala Lumpur untuk menziarahi arwah.

Katanya, mereka sudah bersiap, namun menerima mesej daripada anak angkat arwah, Mohd Hanif Mohd Hashim mengatakan Papa (panggilan untuk arwah) sudah tiada.

“Kami terdiam seketika, kerana kami hanya tahu semalam arwah sudah dua hari dimasukkan ke hospital. Ingat hari ini nak pegi tengok, tapi lain pula jadinya,” katanya.

Sebelum ini, Jaafar mengakui mengalami masalah injap jantung yang mengakibatkan kakinya membengkak sehingga perlu menggunakan kerusi roda sejak enam bulan lalu.

Berikutan itu, Jaafar berkata, dia perlu menjalani beberapa prosedur rawatan di hospital untuk mengetahui lebih lanjut mengenai keadaan kesihatannya yang merosot, sejak tahun lalu.

Jaafar dilahirkan di Muar, Johor pada 19 Oktober 1951, anak bongsu daripada tiga beradik.

Nama Jaafar mula dikenali selepas secara tidak sengaja diundang dalam program masakan, Dunia Wanita terbitan RTM pada 1973.

Menerusi program dihoskan Allahyarham Tan Sri Zaleha Ismail, Jaafar yang pandai memasak sejak di bangku sekolah mula dikenali ramai dan sering diundang dalam pelbagai program.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here