KUALA LUMPUR, 7 Disember- Ke arah hasrat merealisasikan sifar karbon, kerajaan menyasarkan peningkatan lokasi pengecasan kereta elektrik (EV) selaras dengan sasaran 10,000 tempat pengecasan pada 2025.
Demikian jelas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Beliau berkata, berdasarkan graf, penggunaan EV dilihat menunjukkan peningkatan agak ketara.
“Kita akan pastikan pelbagai insentif akan diberikan kerajaan untuk syarikat yang ingin membina pengecas EV, termasuk perkhidmatan pengecasan di rumah,” katanya.
Sementara itu, Tengku Zafrul memaklumkan kerajaan akan melancarkan Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik, esok.
Beliau berkata, skim tersebut menawarkan pemberian rebat sehingga RM2,400 bagi pembelian motosikal elektrik.
Jelasnya, skim yang dibuka kepada rakyat berpendapatan tahunan RM120,000 ke bawah itu adalah selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
“Pada 8 Disember ini, kita akan melancarkan satu skim yang dikenali sebagai “MARIICas” yang dikelolakan oleh Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), salah satu agensi bawah MITI.
“Sesiapa yang berpendapatan RM120,000 ke bawah dan berkelayakan akan mendapat geran tunai sebanyak RM2,400 untuk membeli motosikal EV,”katanya.