PETALING JAYA – Kementerian Pengangkutan memaklumkan ketiadaan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (child seat) antara punca menyebabkan seorang bayi maut dalam kemalangan di Plaza Tol Bukit Kajang, kelmarin.
Menterinya Anthony Loke berkata, laporan polis dan siasatan awal mendapati bayi terbabit tidak diletakkan dalam child seat ketika kejadian.
Ekoran itu katanya, bayi tersebut tercampak keluar lalu tersepit dalam kenderaan lain selepas lori muatan lusuh merempuh beberapa kenderaan di plaza tol berkenaan
“Ramai yang mengeluh apabila kerajaan mewajibkan penggunaan child seat kerana faktor kos, namun insiden ini membuktikan betapa pentingnya ciri keselamatan itu.
“Tetapi jika bayi tersebut berada dalam child seat, kemungkinan besar dia tidak tercampak keluar dan nyawanya masih boleh diselamatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Terminal Bersepadu Gombak (TBG) yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Mengulas lanjut, Loke berkata, beliau tidak menyalahkan mangsa atau ibu bapa, tetapi ini satu peringatan penting kepada semua.
“Child seat adalah ciri keselamatan tambahan yang terbukti mampu melindungi nyawa penumpang kecil dan ia tidak boleh dipandang ringan.
“Setiap ciri keselamatan yang diperkenalkan mempunyai fungsi dan kebaikan tersendiri. Insiden ini sekali lagi membuktikan bahawa mengabaikan child seat boleh membawa risiko besar kepada kanak-kanak,”katanya.
Sumber – KOSMO! ONLINE