SEPANG, 16 November – Malaysia Airlines menyambung semula sepenuhnya perkhidmatan dalam penerbangan bagi semua sektor dengan menawarkan semula termasuk tawaran minuman lengkap, hidangan penuh makanan panas dan hidangan khas.
Ia susulan pertukaran katering yang berkuat kuasa 1 September 2023 lalu.
Pengarah Urusan Malaysia Aviation Group (MAG), Datuk Kapten Izham Ismail berkata perkhidmatan makanan dan minuman Malaysia Airlines kini diselaraskan sendiri menerusi cabang MAG Catering Operations dengan kerjasama sembilan rakan strategik.
Ini termasuk MAS Awana, Syed Food, Sajian Ambang, Kopetro dan Malinja.
“Malaysia Aviation Group ada kuasa mutlak untuk memperkenalkan menu baharu misalnya dalam tempoh yang singkat kerana tidak melibatkan terlalu banyak rundingan, jadi menu baharu boleh diperkenal terus ke pasaran.
“Langkah ini juga bagi menyokong inovasi lebih-lebih lagi dalam landskap penerbangan yang kompetitif.
“Kami sedang giat mengejar peluang dan mengukuhkan perkongsian strategik bagi memastikan hidangan yang ditawarkan kepada tetamu menjangkau standard tertinggi dan tidak mengabaikan kualiti,” katanya.
Jelasnya, perkhidmatan lengkap yang ditawarkan semula ini adalah susulan penghantaran 10 lagi trak hi-lift yang memulakan operasi pada akhir Oktober 2023, sekali gus membolehkan syarikat penerbangan itu meneruskan perkhidmatan sepenuhnya dalam penerbangan sejak 1 November 2023.
Ini bermakna, operasi MAG Catering Operation (MCAT) menajdi semakin kukuh apabila mempunyai 24 trak hi-lift, enam penyejuk beku, dua pendingin dan dua mesin pencuci yang membolehkan syarikat penerbangan itu menawarkan perkhidmatan yang efisien dan segera kepada laluan yang terjejas sebelum ini.
Tambah Kapten Izham, pengenalan semula perkhidmatan tersebut mampu dilaksanakan lebih awal dalam tempoh dua bulan, berikutan langkah konsolidasi aset yang berjalan lancar.
Beliau turut tidak menolak kemungkinan MAG untuk memiliki anak syarikat penuh perkhidmatan katering dengan perbincangan sedang berlangsung berhubung aspek teknikal dan rakan strategik.