IPOH, 14 November- Seorang lelaki yang dikhuatiri hilang selepas keluar memancing di tali air berhampiran Jalan Kuala Parit Kampung Pasir Jenderis, Kampung Gajah semalam, ditemukan lemas, pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata mayat Mohd Asrul Aafendy Shazali, 36, ditemukan orang awam pada pukul 10.57 pagi tadi.
Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kehilangan mangsa pada pukul 2.54 petang semalam, dan mangsa dilaporkan mempunyai penyakit sawan.
Katanya, motosikal serta peralatan memancing dipercayai milik mangsa masih berada di lokasi.
“Orang awam menemukan mayat mangsa tersangkut di jambatan pada jarak 2.3 kilometer dari lokasi terakhir mangsa berada,” katanya.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,”katanya.
Sabarodzi berkata, terdahulu operasi disertai 47 orang daripada pelbagai agensi termasuk orang awam.
Operasi ditamatkan sepebuhnya pada pukul 11.20 pagi.