KUALA LUMPUR – Seorang lelaki rakyat Malaysia yang ditahan bersama rampasan 75 kilogram (kg) dadah jenis ketamin bernilai kira-kira RM9 juta di Thailand, Khamis lalu, dipercayai berperanan sebagai ‘transporter’.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihak Subdivisyen 3, Biro Pembanterasan Narkotik (PNSB) Thailand telah memaklumkan mengenai tangkapan lelaki terbabit ketika sekatan jalan raya dijalankan.
“Semakan awal mendapati lelaki berusia 25 tahun yang beralamat di Sungai Petani, Kedah itu memiliki empat rekod jenayah lampau.
“Suspek dipercayai memainkan peranan sebagai transporter kepada sindiket dadah di Malaysia dan Thailand,” katanya pada Isnin.
Media sebelum ini melaporkan bahawa tangkapan tersebut adalah hasil operasi PNSB Polis Diraja Thailand bersama Polis Wilayah Chumphon yang dijalankan sekitar jam 11.40 pagi di sekatan jalan Mukim Hong Charoen, Daerah Tha Sae, Wilayah Chumphon, selatan Thailand.
Pemeriksaan ke atas kereta yang dipandu suspek menemui ruang rahsia di bahagian belakang.
Pemeriksaan lanjut menemukan bungkusan plastik vakum disyaki berisi ketamin seberat 75 kilogram, bernilai lebih 70 juta baht (kira-kira RM9 juta), yang disorok dengan rapi dalam ruang tersembunyi itu.
Suspek mendakwa tidak mengetahui kandungan bahan terlarang berkenaan dan menyatakan bahawa beliau telah diupah oleh individu tidak dikenali untuk memandu kereta dari Bangkok ke Malaysia dengan bayaran RM5,000.
Sumber – Sinar Harian





