KOTA KINABALU, 21 Disember- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah memberi tempoh dua hari kepada pemilik sebuah restoran di Kota Kinabalu untuk menjelaskan tindakannya menjual lauk sotong manis dengan harga RM50.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Sabah, Zulfamy Mat Udi menerusi satu kenyataan memaklumkan, premis berkenaan dikenakan tindakan dan disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Perlindungan Pengguna 1999 kerana meletakkan harga mengelirukan serta tidak jelas.
Selain itu katanya, premis sama turut diberi Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 berhubung makanan sotong manis itu.
“Notis diberi bagi mendapatkan maklumat berhubung harga makanan berkenaan dan diminta untuk memberi maklumbalas dalam tempoh dua hari.
“Tindakan juga diambil mengikut Seksyen 21 AKHAP 2011 dan siasatan masih dijalankan sementara menunggu maklum balas daripada peniaga terlibat.
Jelas Zulfamy, berdasarkan pemeriksaan premis berkenaan ada menunjukkan tanda harga bagi setiap makanan dan minuman yang dijual termasuk sotong manis.
Namun, katanya, KPDN menasihatkan pemilik premis memaklumkan harga lebih jelas dari segi saiz sotong manis berkenaan.
“Sebagai contoh, berapa harga untuk sotong manis saiz kecil, sederhana dan besar. Penandaan harga lebih khusus untuk mengelakkan kekeliruan pengguna.
“KPDN juga menasihatkan orang ramai bertanya terlebih dahulu kepada peniaga atau menyemak senarai harga dipamerkan sebelum mengambil makanan, bagi mengelak kekeliruan,” katanya.