PUTRAJAYA, 28 Oktober 2023 – Majlis Menandatangan Perjanjian Perpindahan dan Pembangunan Semula Kem Pusat Latihan Polis Tentera (PULAPOT) Unit Army Red Warrior (ARW) dan Kem 12 Kompeni Kor Polis Tentera Diraja (12KPTD) serta Pembangunan Perumahan Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) telah dilaksanakan semalam di Pejabat Perdana Menteri, semalam.
Majlis ini turut dihadiri oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan serta Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian yang lain.
Inisiatif yang telah diluluskan oleh Jemaah Menteri ini akan dibina di tapak Mukim Si Rusa, Port Dickson yang melibatkan pembinaan Pejabat Markas, Dewan Serbaguna dan juga kemudahan lain yang diperlukan untuk kegunaan latihan PULAPOT dan ARW.
Sebanyak 213 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) bakal disediakan dengan kemudahan yang lengkap yang terdiri daripada Kompleks Komuniti, Sekolah Rendah Agama, Taska dan lain-lain untuk Anggota ATM yang bakal berpindah.
Pembinaan perumahan SASaR ATM ini dapat memberi peluang kepada warga kerja pertahanan seperti anggota ATM, warga veteren ATM dan termasuklah warga kerja awam di Kementerian Pertahanan untuk memiliki rumah yang selesa di Kuala Lumpur.
Terdahulu Kerajaan berkonsepkan Malaysia Madani mahu meneliti semula kebajikan Warga Kerja Pertahanan dengan memulakan perubahan dengan membangunkan aset dan pembangunan untuk ATM dan juga meliputi ahli keluarga dan masyarakat sekitar kem.