BANGI, 27 November 2026 – Kementerian Digital melancarkan Pelan Strategik Kementerian Digital 2026–2030 (PSKD 2026–2030) sebagai panduan utama memperkukuh agenda pendigitalan negara bagi tempoh lima tahun akan datang.
Pelan berkenaan dilancarkan oleh Menteri Digital, Gobind Singh Deo, bersempena Majlis Sanjungan Budi dan Amanat Menteri Digital Tahun 2026 di Hotel Tenera, Bangi, hari ini.
PSKD 2026–2030 dirangka selari dengan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) dan Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030 (MD2030) bagi memastikan pelaksanaan agenda pendigitalan negara lebih terancang, bersepadu dan berorientasikan hasil.
Pelan itu turut mengambil kira perkembangan teknologi digital, khususnya kecerdasan buatan (AI), serta keperluan meningkatkan daya saing Malaysia dalam ekonomi digital global.
Lima sasaran strategik menjelang 2030
Menerusi pelan tersebut, Kementerian Digital menetapkan beberapa sasaran utama yang ingin dicapai menjelang tahun 2030, antaranya:
- Meningkatkan sumbangan ekonomi digital kepada 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).
- Meletakkan Malaysia dalam kelompok 20 negara teratas berdasarkan Indeks Pembangunan Kerajaan Elektronik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN EGDI).
- Meletakkan Malaysia dalam kelompok 10 negara teratas dari aspek kesediaan kecerdasan buatan (AI).
- Mencapai kedudukan 25 teratas dunia dalam IMD World Digital and AI.
- Mencapai sekurang-kurangnya 85 peratus kepuasan pengguna terhadap perkhidmatan digital kerajaan.
Lima teras utama pacu transformasi digital
Bagi mencapai sasaran tersebut, PSKD 2026–2030 digerakkan melalui lima teras strategik yang merangkumi aspek kerajaan, ekonomi, masyarakat, kepercayaan dan tadbir urus digital.
Lima teras berkenaan ialah:
1. Kerajaan Digital
Memperkukuh perkhidmatan kerajaan melalui pendigitalan, integrasi sistem dan perkongsian data bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam lebih cekap serta mudah diakses rakyat.
2. Ekonomi Digital
Memacu pertumbuhan ekonomi digital melalui pembangunan infrastruktur, peningkatan pelaburan, inovasi teknologi dan pengukuhan daya saing industri negara.
3. Masyarakat Digital
Memperkasa rakyat menerusi peningkatan literasi dan kemahiran digital, pembangunan bakat serta peluasan akses kepada manfaat teknologi secara inklusif.
4. Kepercayaan Ekosistem Digital
Memperkukuh kepercayaan terhadap ekosistem digital melalui keselamatan siber, perlindungan data peribadi, tadbir urus teknologi dan penggunaan teknologi secara bertanggungjawab.
5. Tadbir Urus Digital
Memantapkan dasar, penyelarasan institusi dan mekanisme pemantauan bagi memastikan agenda pendigitalan negara dilaksanakan secara bersepadu dan berkesan.
Pelaksanaan secara menyeluruh melalui kerjasama kerajaan
Pelaksanaan PSKD 2026–2030 akan menggunakan pendekatan Whole-of-Government yang menekankan kerjasama dan penyelarasan antara kementerian, agensi serta pihak berkepentingan.
Setiap teras strategik akan diterjemahkan melalui pelan tindakan yang merangkumi inisiatif, aktiviti, petunjuk prestasi utama (KPI), sasaran pencapaian, agensi peneraju dan tempoh pelaksanaan.
Pemantauan serta penilaian berkala turut dilaksanakan melalui Jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa Kerja PSKD bagi memastikan kemajuan program dapat diselia dan penambahbaikan dilakukan secara berterusan.
Peluncuran pelan ini turut menyokong aspirasi Malaysia untuk menjadi Negara AI menjelang 2030, dengan memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur digital, bakat, inovasi, pelaburan dan tadbir urus teknologi.
Sumber – Kementerian Digital





