KUALA LUMPUR – Indonesia memberi jaminan untuk memperhebatkan operasi membendung kebakaran hutan dan tanah di Sumatera serta Kalimantan bagi menangani ancaman jerebu rentas sempadan yang turut menjejaskan Malaysia.
Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Raden Datuk Mohammad Iman Hascarya Kusumo, juga memaklumkan kepada BH, negaranya akan memperkukuh kerjasama dengan Malaysia serta negara ASEAN lain bagi tujuan berkenaan.
Beliau mengakui usaha itu penting bagi memastikan langkah pencegahan dan pemadaman kebakaran memberi kesan kepada masyarakat serta mengurangkan risiko kebakaran berulang.
“Indonesia laksana pelbagai langkah untuk cegah dan tangani kebakaran serta jerebu terutama di wilayah Sumatera dan Kalimantan. Ia termasuk menerusi operasi pemadaman dari darat dan udara, pemantauan titik panas, rondaan bersepadu dan operasi pengubahsuaian cuaca di kawasan yang memerlukan.
“Operasi bersepadu ini membabitkan kerajaan pusat dan daerah, Tentera Nasional Indonesia (TNI), Polis Republik Indonesia (POLRI), Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) serta masyarakat setempat,” katanya.
Selasa minggu lalu, BH melaporkan masalah jerebu di negara ini dijangka berlarutan hingga awal tahun depan susulan cuaca panas dan kering yang berterusan, selain kegiatan pembakaran termasuk di kawasan terbuka.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, dilaporkan berkata keadaan itu turut dipengaruhi fenomena El Nino ketika ini dan diramal meningkat kepada Super El Nino pada November hingga Disember serta berpotensi berterusan hingga awal 2027.
Monsun Barat Daya yang berlaku serentak dengan fenomena El Nino dijangka berterusan hingga pertengahan tahun depan, menyebabkan taburan hujan lebih rendah serta cuaca lebih panas dan kering.
Sementara itu, Mohammad Iman berkata, Indonesia pada masa sama turut memperketatkan pengawasan dan penguatkuasaan terhadap amalan pembakaran hutan dan tanah yang menyalahi undang-undang.
“Indonesia juga menggalakkan pengurusan tanah secara lestari bagi mengurangkan risiko kebakaran berulang,” katanya menambah kebakaran hutan dan tanah dipengaruhi pelbagai faktor, termasuk aktiviti manusia, keadaan persekitaran dan cuaca.
Contoh, kawasan kering dan ekosistem gambut boleh menyebabkan api merebak dengan lebih sukar dikawal termasuk di bawah permukaan tanah dan dalam keadaan tertentu, kebakaran di kawasan terhad boleh merebak apabila dipengaruhi cuaca panas, angin kencang atau keadaan hutan sangat kering.
“Namun, risiko itu boleh dikurangkan melalui pencegahan, pengawasan berterusan dan tindakan awal sebelum api merebak,” katanya Mohamad Iman.
Beliau juga memaklumkan, lebih 10.6 juta penduduk di tujuh wilayah Indonesia terjejas akibat kebakaran hutan dan tanah setakat 27 Ogos lalu yang turut merekodkan 13,449 kes jangkitan saluran pernafasan akut di 63 daerah di kawasan terjejas.
“Angka itu berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Indonesia. Data emiologi dan pengesahan lanjut daripada Kementerian Kesihatan diperlukan untuk kerajaan peroleh jumlah sebenar kematian atau penghidap penyakit kronik yang secara khusus disebabkan pendedahan kepada jerebu ketika ini.
“Justeru, kita tidak boleh menyatakan jumlah yang belum disahkan kerana penentuan punca kematian atau penyakit kronik memerlukan pemeriksaan perubatan dan kajian menyeluruh,” katanya.
Pantau kualiti udara
Tegasnya, Indonesia komited perkukuh perlindungan kesihatan penduduk terjejas menerusi pemantauan kualiti udara dan kesiapsiagaan kemudahan kesihatan serta penyampaian maklumat kepada masyarakat di wilayah terjejas, disokong tenaga perubatan, bekalan pelitup muka dan mesin oksigen.
Dalam pada itu, katanya, kira-kira 1.43 juta pelajar di Indonesia terpaksa mengikuti pembelajaran dari rumah akibat kesan jerebu setakat 1 September lalu, membabitkan 12,874 institusi pendidikan di 27 kawasan dalam enam wilayah.
“Kaedah pembelajaran itu dibuat sementara dan bergantung perkembangan kualiti udara serta keadaan di setiap kawasan. Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Dasar dan Menengah memberi panduan kepada pentadbiran wilayah dan institusi pendidikan bagi memastikan pembelajaran terus berlangsung.
“Dalam hal ini, kita utamakan keselamatan dan kesihatan pelajar, guru dan tenaga pendidik supaya murid terus belajar, sekali gus meminimumkan gangguan terhadap proses belajar dan mengajar akibat jerebu,” katanya.
Mengenai kerugian ekonomi akibat kebakaran hutan dan tanah serta jerebu di Indonesia bagi 2026, Mohamad Iman memaklumkan, ia belum dapat ditentukan kerana memerlukan proses pengumpulan dan penyelarasan data daripada agensi berkaitan.
Katanya, kesan kebakaran bukan hanya membabitkan sektor perhutanan dan alam sekitar, tetapi kesihatan, pertanian, pengangkutan, pelancongan dan pendidikan.
“Kesan itu turut dirasai dalam kegiatan ekonomi harian masyarakat di kawasan terjejas. Anggaran keseluruhan kerugian ekonomi akibat jerebu kali ini masih dalam siasatan dan penyelarasan data daripada agensi berkaitan.
“Jumlah kerugian adalah berbeza setiap tahun kerana situasi serta keadaan alam sekitar dan cuaca yang berubah,” katanya.
Sumber – Berita Harian





