GUA MUSANG – Hanya kenderaan ringan dibenarkan melalui laluan Kilometer (KM) 11.95, Jalan Gua Musang-Jeli susulan kejadian tanah runtuh, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, jalan sementara satu lorong itu sudah dibuka kepada kenderaan ringan seperti motosikal dan kereta.
Katanya, lebih 3,000 penduduk yang tinggal di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri menggunakan jalan berkenaan sebagai laluan utama ke Bandar Gua Musang setiap hari.
“Jabatan Kerja Raya (JKR) melalui kontraktornya segera bertindak membina jalan sementara selepas kejadian tersebut. Saya harap projek membina struktur jalan dan pembaikan pembetung dapat siap mengikut jadual yang sudah ditetapkan bagi kemudahan pengguna jalan raya ini.
“Penduduk yang tinggal di lebih 10 kampung di DUN Nenggiri menggunakan laluan ini setiap hari untuk ke bandar Gua Musang. Selain itu, jalan itu juga laluan untuk pengguna jalan ke Jeli, Jelawang, Dabong, Kuala Krai dan Tanah Merah,” katanya selepas meninjau lokasi jalan runtuh berhampiran Kampung Sungai Terah di sini hari ini.
Seorang penduduk, Mohd. Johan Awang Kechik, 56, berkata, penduduk berharap jalan terbabit dapat disiapkan secepat mungkin untuk keselamatan pengguna jalan raya.
“Jalan ini menjadi laluan utama kepada penduduk untuk menghantar anak ke sekolah menengah dan pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” jelasnya.
Dalam ejadian kira-kira pukul 6.56 petang semalam, runtuhan tanah itu membabitkan laluan sepanjang 15 meter menyebabkan kedua-dua lorong tidak boleh digunakan oleh pengguna.
Sumber – KOSMO! ONLINE





