SEPANG – Penganjuran Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) melakar sejarah apabila merekodkan jumlah kehadiran penonton tertinggi dalam sejarah litar berkenaan, sekali gus mendapat pujian daripada beberapa individu utama Formula Satu (F1).

Sebanyak 261,000 penonton direkodkan sepanjang hujung minggu perlumbaan, dengan 103,000 penonton hadir pada hari perlumbaan semalam, membuktikan betapa tiket habis dijual berikutan sambutan luar biasa peminat terhadap kepulangan F1 ke Malaysia.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) F1, Stefano Domenicali berkata, beliau teruja dengan sambutan luar biasa terhadap GP Bahrain di Malaysia selain mengiktiraf komitmen Raja Bahrain, Raja Hamad Isa Al Khalifa dalam menjayakan penganjuran berkenaan.
“Ia adalah hasil visi, keazaman dan pemikiran pantas beliau yang membolehkan kami menikmati gambaran sebenar perlumbaan Bahrain pada minggu ini, dan ia berjaya dilaksanakan hanya dalam tempoh dua bulan,” kata Domenicali.
Domenicali berkata, pasukan Bahrain dan SIC bekerjasama rapat untuk merealisasikan penganjuran unik berkenaan, selain menyifatkan kepulangan F1 ke Malaysia selepas hampir 10 tahun sebagai sesuatu yang istimewa.
“Pasukan beliau bekerjasama dengan pasukan Litar Antarabangsa Sepang untuk bersama-sama menyahut cabaran ini. Kami amat dialu-alukan kembali ke Malaysia dan SIC buat kali pertama dalam hampir 10 tahun, tempoh di mana sukan ini sudah berubah dan berkembang dengan begitu banyak.
“Seperti yang kita lihat, ia menghasilkan perlumbaan yang memecahkan rekod dan tiket habis dijual,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut memberikan penghargaan kepada peminat yang disifatkannya sebagai nadi utama F1 selepas mencipta suasana cukup meriah sepanjang hujung minggu perlumbaan.
“Tanpa mereka, sukan kami tidak bermakna dan komitmen mereka ketika kami mengubah perancangan untuk melaksanakan perlumbaan ini amat hebat. Kami berharap mereka pulang dengan kenangan sepanjang hayat mengenai detik yang benar-benar unik dalam sejarah F1 ini,” tambahnya.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), Mohammed Ben Sulayem menyifatkan sambutan luar biasa peminat, terutama selepas acara berkenaan berjaya dianjurkan dalam tempoh singkat, sebagai satu pencapaian yang amat membanggakan.
“Untuk melihat sambutan luar biasa daripada peminat, khususnya dengan mengambil kira tempoh singkat acara ini dianjurkan, adalah satu pencapaian yang amat besar.
“Ia mencerminkan kekuatan kerjasama antara Bahrain dan Malaysia serta keazaman bersama untuk menjadikan GP unik ini satu kejayaan,” kata Mohammed.
Ketua Eksekutif Litar Antarabangsa Bahrain, Sheikh Salman Isa Al Khalifa pula berkata, penganjuran GP Bahrain di Malaysia membolehkan pihaknya membawa budaya dan layanan mesra Bahrain kepada peminat di rantau ini menerusi platform F1.
“Kami benar-benar membawa Bahrain ke Malaysia. Platform hebat F1 memberikan kami, bersama rakan-rakan dalam pasukan Bahrain, peluang untuk mengetengahkan budaya dan layanan mesra kami kepada peminat di rantau ini di venue ikonik ini.

“Lebih 260,000 peminat hadir untuk menyaksikan acara terbesar pernah dianjurkan di Litar Antarabangsa Sepang dan kami amat berterima kasih kepada mereka kerana membawa semangat serta tenaga mereka,” kata Sheikh Salman.
Sheikh Salman turut mengakui penganjuran acara sebesar itu dalam tempoh yang singkat tidak mungkin dapat direalisasikan tanpa kerjasama erat dengan SIC, selain sokongan F1, FIA, Persekutuan Permotoran Bahrain dan Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM).
Sumber – Berita Harian





