KUANTAN, 13 Disember- Susulan kematian seorang buruh Indonesia akibat ditimbus tanah di tapak projek pembinaan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (CSR) di Kuala Lipis Isnin lalu, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah mengeluarkan arahan untuk menghentikan kerja-kerja di tapak brekenaan.
Ketua Eksekutifnya, Datuk Mohd Zaid Zakaria berkata subkontraktor terlibat diarahkan menghentikan kerja penggalian sehingga kawalan mencukupi terhadap kerja itu dikemukakan kepada CIDB dan kontraktor mematuhi arahan keselamatan kerja penggalian tanah daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).
Beliau turut mendedahkan, siasatan awal CIDB mendapati subkontraktor terlibat tidak mengisytiharkan projek itu di sistem CIDB dan tiga pekerja binaan termasuk mangsa yang maut tidak mempunyai perakuan pendaftaran personel binaan CIDB manakala seorang lagi mempunyai perakuan pendaftaran tamat tempoh.
“Selain itu, penyelia tapak binaan bagi projek itu juga didapati tidak diakreditasi sebagai Penyelia Tapak Bina,” katanya.
Jelas Mohd Zaid, siasatan terhadap insiden itu dijalankan mengikut Seksyen 34B (1) Akta CIDB (Akta 520) berkaitan kewajipan kontraktor yang antara lain mengemukakan maklumat berhubung kerja pembinaan, memastikan keselamatan dan memastikan kerja dijalankan mengikut peruntukan Akta CIDB.
Seksyen 34D pula menyatakan kematian yang disebabkan oleh pelanggaran kewajipan oleh kontraktor, boleh didenda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi kegagalan mematuhi keperluan memiliki perakuan personel pembinaan, individu terlibat boleh didenda tidak melebihi RM5,000 seorang.
Isnin lalu, buruh warga Indonesia, Khairul Anam, 28 tahun maut selepas ditimbus tanah menggelongsor ketika mengukur kedalaman longkang yang baru digali di tapak projek yang terletak di Kampung Berembang, Kuala Lipis.
Mangsa difahamkan baru lima bulan bekerja dengan syarikat subkontraktor bagi kerja pembinaan laluan itu.