Kuala Selangor: Kemunculan sebuah Perodua Bezza berwarna hitam yang ‘melarikan’ kanak-kanak di sekitar Taman Ikan Emas, di sini, menimbulkan kebimbangan komuniti di kawasan itu.
Terbaru, dua kanak-kanak perempuan dipercayai dilarikan seorang lelaki yang memandu Perodua Bezza di taman berkenaan dalam kejadian kira-kira jam 6 petang semalam.
Menceritakan kejadian itu, penduduk Taman Ikan Emas, Nur Azura Mohammad Wazir, 37, berkata, anak saudaranya, Kayla Keysha Khaidil Khalid, 8, bersama dua rakannya sedang bermain di kawasan berhampiran rumah.
“Mereka kemudian dihampiri seorang lelaki muda yang mengajak mereka untuk berjalan menaiki keretanya.
“Dua daripada mereka termasuk anak saudara mengikuti lelaki terbabit, manakala seorang rakannya lagi enggan menaiki kereta.
“Rakan mereka yang tidak mengikuti kemudian memaklumkan kepada kami bahawa Kayla menaiki kenderaan bersama seorang lelaki dewasa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Panik dengan situasi itu, Nur Azura memaklumkan mereka membuat laporan di Balai Polis Jeram sejam kemudian untuk tindakan lanjut.
Bagaimanapun, katanya, Kayla dan rakannya itu ditemui orang ramai berjalan menuju ke rumah kira-kira jam 7 malam tadi.
“Kayla memaklumkan lelaki terbabit membelikan mereka minuman selain singgah di rumahnya untuk menukar baju.
“Lelaki terbabit kemudian menghantar mereka di taman sebelah dan kedua-duanya terpaksa berjalan kaki untuk pulang ke rumah.
“Sepanjang tempoh bersama lelaki itu, Kayla dan rakannya memaklumkan lelaki terbabit tidak ada melakukan apa-apa terhadap mereka,” katanya.
Nur Azura yang juga seorang peniaga berkata, kejadian menimpa anak saudara dan rakannya itu adalah insiden kali kedua berlaku di taman berkenaan.
“Pada April lalu, ada kejadian kanak-kanak yang dilaporkan hilang selepas menaiki Perodua Bezza hitam pada waktu petang sebelum ditemui semula pada tengah malam, hari sama.
“Apa yang berlaku ini menyebabkan komuniti di Taman Ikan Emas bimbang dengan keselamatan anak-anak bermain di kawasan luar rumah.
“Saya sendiri mengambil langkah berjaga-jaga dengan tidak membenarkan anak-anak keluar bermain di luar rumah pada waktu petang,” katanya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Deputi Superintendan Mohd Ambia Nordin berkata, pihaknya menerima laporan dibuat ibu mangsa berhubung kejadian itu jam 6.30 petang semalam.
“Kami juga mengesan hantaran tular di media sosial berkaitan dua kanak-kanak perempuan masing-masing berusia 8 dan 6 tahun dilarikan seorang lelaki memandu Perodua Bezza berwarna hitam di Taman Ikan Emas.
“Pihak polis bertindak menjalankan siasatan segera sejurus menerima laporan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Ambia berkata, kedua-dua kanak-kanak berkenaan kemudian ditemui dalam keadaan selamat di Taman Kelisa berhampiran rumah mangsa jam 7.45 malam tadi iaitu kira-kira satu jam selepas dilaporkan hilang.
“Pihak polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 369 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 bagi kes berkenaan.
“Orang ramai diingatkan supaya mengawasi anak-anak yang berada di luar rumah bagi mengelak sebarang kejadian diingini berlaku,” katanya.
Sumber : hmetro





