Tuesday, June 16, 2026
HomeBERITABekalan Ternakan Sempena Aidiladha Cukup, Penuhi Permintaan – KPKM

Bekalan Ternakan Sempena Aidiladha Cukup, Penuhi Permintaan – KPKM

PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan bekalan ternakan sempena sambutan Aidiladha tahun ini mencukupi dan mampu menampung keperluan di seluruh negara.

KPKM memaklumkan, berdasarkan data Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) sehingga Mac lalu, jumlah keseluruhan lembu dan kerbau yang tersedia adalah sebanyak 38,804 ekor, merangkumi 35,581 ternakan tempatan dan 3,223 yang diimport.

Katanya, bagi kambing dan bebiri pula, sebanyak 30,167 ekor tersedia untuk ibadah korban, dengan 26,845 daripada penternak tempatan, manakala 3,322 lagi diimport dari luar negara.

“Anggaran permintaan bagi lembu dan kerbau sempena Aidiladha tahun ini adalah sebanyak 34,451 ekor, manakala kambing dan bebiri dianggarkan sebanyak 22,453 ekor.

“Ini menunjukkan bekalan semasa melebihi keperluan yang dijangka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagi memastikan kelancaran proses penyembelihan, sebanyak 27 rumah sembelih milik DVS di seluruh Semenanjung Malaysia sedia beroperasi sempena sambutan Aidiladha.

Pada masa sama, sebanyak 40 rumah sembelih swasta diberikan lesen sah bagi melaksanakan penyembelihan korban mengikut tatacara yang ditetapkan.

KPKM turut mengingatkan orang ramai yang ingin melaksanakan ibadah korban di luar rumah sembelih termasuk di masjid, surau, sekolah, taman perumahan dan kawasan awam supaya mengemukakan permohonan permit penyembelihan luar, disertakan dokumen berkaitan kepada DVS bagi mendapatkan kebenaran rasmi.

“Permohonan ini penting bagi memastikan aspek kebajikan haiwan, kebersihan, keselamatan dan kesihatan awam sentiasa dipelihara,” katanya.

Justeru, orang ramai dinasihatkan merujuk kepada Garis Panduan Penyembelihan Ternakan Korban yang disediakan DVS sebagai rujukan utama dalam melaksanakan ibadah korban dengan teratur dan mematuhi peraturan.

“Dengan persediaan yang rapi ini, kerajaan yakin umat Islam di negara ini dapat melaksanakan ibadah korban dengan lancar, selamat dan mengikut garis panduan yang ditetapkan,” katanya.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Cik B Berjuang Lawan ‘Benda’, Tak Tahu Datang Dari Mana –...

0
SHAH ALAM – Usahawan sensasi Datuk Seri Vida mendedahkan anaknya, Cik B beberapa kali mengalami gangguan mistik sepanjang bertanding di pentas Talk To My...

CATEGORIES