KUALA LUMPUR – Anak tiri Biduanita Datuk Seri Siti Nurhaliza, Muhammad Asyraf Khalid telah memfailkan saman fitnah terhadap penyanyi rap, Caprice di Mahkamah Tinggi pada 4 Ogos lalu.
Peguam, Abdul Hakeem Aiman yang mewakili Asyraf, 33, selaku plaintif, memfailkan saman itu dengan menamakan Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 39, sebagai defendan.
Menurutnya, anak guam telah memfailkan writ saman, pernyataan tuntutan dan permohonan injunksi menerusi firma guaman Tetuan Wan Shahrizal, Hari & Co.
Ketika ditemui di luar mahkamah, selepas pengurusan kes secara dalam kamar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Dr Suzana Muhamad Said, beliau berkata, terdapat kenyataan berunsur fitnah yang diterbitkan oleh defendan di platformnya di Instagram.
“Ia merujuk kepada video teaser atau pra-penyiaran yang akan diterbitkan plaintif menerusi poadcast atau audio siar.
“Hantaran berbaur fitnah itu diterbitkan sebanyak 31 kali menerusi platform itu,” kata Abdul Hakeem kepada pemberita.
Mengulas mengenai permohonan injunksi yang difailkan anak guam, beliau berkata, ia berhubung permohonan supaya Caprice yang juga penerbit muzik memadamkan semua hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya.
Katanya, memandangkan Pesuruhjaya Kehakiman, Dr Suzana akan berpindah tidak lama lagi, maka permohonan berkenaan akan didengar di hadapan hakim baharu pada 18 Ogos.
Selain Abdul Hakeem, Asyraf turut diwakili peguam, Hazim Mhd Nasruddin.
Pada 6 Ogos lalu, dalam sidang media Asyraf berkata, pelbagai tuduhan dilemparkan terhadapnya apabila Caprice menyelar tindakannya menjemput seorang lelaki yang didakwa pernah mencederakan beberapa individu ke program audio siar.
Asyraf berkata, perkara itu mengundang kecaman orang ramai sehingga usahawan itu digelar perogol, pedofilia.
Ia turut menyebabkan serangan terhadap keluarganya sehingga mengganggu mental serta emosinya selain merosakkan reputasinya sebagai ahli perniagaan.
Sumber: Sinar Harian