Kuala Terengganu : Sebanyak 316 syarikat di seluruh negeri memiliki sijil halal yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) membabitkan pelbagai skim dan sektor perniagaan.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Ariffin Deraman berkata, daripada jumlah itu sebanyak 178 syarikat membabitkan produk makanan, premis makanan (91), pengilangan kontrak (22), barang gunaan (15), rumah sembelih (enam) dan kosmetik (empat).
“Daerah Kuala Terengganu mencatat jumlah tertinggi dengan 77 syarikat, diikuti Kemaman (63), Dungun (48), Marang (35), Kuala Nerus (35), Besut (31), Hulu Terengganu (18) dan Setiu (sembilan),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Mohd Noor pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas (Bajet), di sini, hari ini.
Sumber – Harian Metro





