KUALA LUMPUR, 08 DISEMBER 2023 – Malaysia telah menerima kunjungan dari Menteri Angkatan Tentera Perancis, TYT Sébastian Lecornu sebagai Lawatan Rasmi pertamanya ke sini pada 8 Disember 2023.
YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hassan, Menteri Pertahanan Malaysia mengambil kesempatan berharga ini untuk bertukar-tukar pandangan mengenai persekitaran strategik semasa.

Isu kerjasama pertahanan serantau dan antarabangsa menjadi tumpuan diskusi selain mengesahkan kepusatan ASEAN “ASEAN Centrality” dengan menajdikan Perancis sebagai pemerhati dalam struktur ADMM Plus.
TYT Sébastian Lecornu dan YB Dato’ Seri Mohamad sepakat mahu mengekalkan kesejahteraan Laut China Selatan sebagai laluan perdagangan yang selamat melalui konsultasi selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf secara universal termasuk United Nations Convention on The Law of the Sea 1982 (UNCLOS 1982).
Dalam masa yang sama, kedua-dua menteri bersetuju untuk melancarkan rundingan Status of Forces Agreement selain dengan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Strategik Pertahanan Malaysia – Perancis atau Malaysia-France Defence Joint High Strategic Committee (DJHSC) pada tahun 2024.
DJHSC adalah platform penting untuk berkongsi isu pertahanan dan keselamatan yang berkaitan antara kedua-dua negara.

Kerjasama pertahanan Malaysia yang sekian lama terjalin dengan Perancis telah memainkan peranan penting dalam membina keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mempertahankan dan melindungi kepentingan Malaysia.
Pendekatan dalam lawatan ini sangat berharga dan membuka peluang terbaik buat kedua- dua negara di samping mengukuhkan hubungan Malaysia-Perancis.





