Friday, November 27, 2026
HomePERNIAGAANIJN Dan Universiti Monash Malaysia Jalin Kerjasama Perkukuh Kesihatan Jantung

IJN Dan Universiti Monash Malaysia Jalin Kerjasama Perkukuh Kesihatan Jantung

SUBANG JAYA, 27 November 2026 – Universiti Monash Malaysia dan Institut Jantung Negara (IJN) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh penyelidikan kolaboratif dalam bidang perubatan kardiovaskular dan kardiotorasik, sains data, ekonomi kesihatan serta perubatan gaya hidup.

Kerjasama itu bertujuan menghimpunkan penyelidik universiti dan pasukan klinikal untuk meneroka persoalan berkaitan kesihatan kardiovaskular serta menyokong pembangunan penyelidikan yang berpotensi diaplikasikan dalam penjagaan pesakit.

Menurut Statistik Punca Kematian, Malaysia, 2026 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), penyakit jantung iskemia mencatatkan 18,001 kematian pada 2025, mewakili 13 peratus daripada kematian yang disahkan secara perubatan. Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023 oleh Kementerian Kesihatan turut menonjolkan skala cabaran kesihatan yang dihadapi negara.

Tinjauan itu menganggarkan 15 peratus orang dewasa di Malaysia menghidap diabetes, 29 peratus mengalami tekanan darah tinggi dan 33 peratus mempunyai paras kolesterol tinggi. Secara keseluruhan, dapatan ini menggariskan kepentingan penyelidikan yang menangani penyakit kardiovaskular melalui pencegahan, penjagaan klinikal serta pemahaman lebih mendalam mengenai faktor persekitaran dan gaya hidup yang mempengaruhi kesihatan jantung.

Di bawah MoU itu, kedua-dua institusi akan menjalankan penyelidikan pencegahan, klinikal dan translasi bagi menangani salah satu cabaran kesihatan terbesar di Malaysia. Kerjasama itu turut meneliti bagaimana pendedahan kepada faktor persekitaran dan gaya hidup mempengaruhi kesihatan kardiovaskular, selain memanfaatkan sains data dan ekonomi kesihatan untuk memperkukuh pendekatan penyelidikan serta membantu membuat keputusan berkaitan penjagaan kesihatan.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Klinikal Institut Jantung Negara, Datuk Dr Shaiful Azmi Yahaya berkata, pihaknya menyaksikan sendiri bagaimana penyakit kardiovaskular memberi kesan berbeza kepada pesakit, meskipun mereka mengalami keadaan kesihatan yang hampir sama.

“Walaupun kemajuan teknologi perubatan telah mengubah cara kita merawat penyakit jantung, masih banyak perkara yang perlu difahami mengenai sebab sesetengah pesakit mengalami komplikasi lebih awal, memberikan tindak balas berbeza terhadap rawatan atau mengalami hasil rawatan yang berbeza.

“Kerjasama dengan Universiti Monash Malaysia ini merupakan peluang untuk menggabungkan pengalaman klinikal IJN yang luas dengan kepakaran penyelidikan universiti bagi menangani persoalan penting ini. Lebih utama, kami mahu menghasilkan dapatan penyelidikan yang relevan dengan populasi rakyat Malaysia dengan mengambil kira profil kesihatan, gaya hidup dan faktor persekitaran berbeza yang mempengaruhi kesihatan kardiovaskular.

“Akhirnya, matlamat kami bukan sekadar memajukan pengetahuan saintifik, tetapi menterjemahkan pengetahuan itu kepada pencegahan lebih baik, keputusan rawatan yang lebih berinformasi serta hasil kesihatan jangka panjang yang lebih baik untuk pesakit.

“Kami percaya penyelidikan yang bermakna perlu bermula daripada cabaran klinikal sebenar dan menjurus kepada penyelesaian yang mampu membawa perubahan dalam penjagaan pesakit,” katanya.

Sementara itu, Presiden dan Pro Naib Canselor Universiti Monash Malaysia, Profesor Dato’ Dr Adeeba Kamarulzaman berkata, kerjasama itu akan menggabungkan kepakaran klinikal dan penyelidikan pelbagai disiplin bagi memperdalam pemahaman mengenai penyakit kardiovaskular serta meningkatkan usaha pencegahan dan pengurusannya.

“Masa depan kesihatan kardiovaskular tidak boleh dibentuk melalui bidang perubatan semata-mata. Ia memerlukan kita menghubungkan kepakaran klinikal dengan kekuatan sains, teknologi, data serta pemahaman lebih mendalam mengenai faktor yang mempengaruhi kesihatan dalam kalangan populasi.

“Kerjasama dengan IJN menghimpunkan dua institusi yang mempunyai kekuatan saling melengkapi serta komitmen bersama untuk meningkatkan tahap kesihatan. Dengan menggabungkan kepakaran klinikal bertaraf dunia IJN bersama keupayaan penyelidikan pelbagai disiplin Universiti Monash, kami mahu melangkaui rawatan penyakit kardiovaskular dengan memahami penyakit itu secara lebih mendalam, meramal risiko lebih awal serta mengubah pendekatan pencegahan dan pengurusannya.

“Paling penting, kami mahu penyelidikan ini membawa perubahan nyata kepada kehidupan rakyat Malaysia,” katanya.

Salah satu projek penyelidikan yang sedang dijalankan memberi tumpuan kepada kegagalan jantung yang berlaku pada usia muda dalam kalangan individu dengan kardiomiopati, iaitu keadaan yang menjejaskan otot jantung.

Diketuai Pengarah Jabatan Penyelidikan Berimpak Tinggi dan Transformasi Pendidikan (HIRED), Dr Syafiq Asnawi, kajian itu akan menggunakan proteomik, iaitu kajian berskala besar terhadap protein, bagi mengenal pasti penanda dalam darah yang berpotensi membantu menjelaskan mengapa keadaan tersebut berkembang secara berbeza dalam kalangan pesakit.

Menerusi kerjasama itu, Universiti Monash Malaysia dan IJN berhasrat membina hubungan berterusan antara penyelidik dan pakar klinikal, meneroka peluang pembiayaan bersama serta memperkukuh asas bukti yang menyokong kesihatan kardiovaskular.

MoU itu menyediakan rangka kerja bagi membangunkan aktiviti berkenaan serta mengenal pasti bidang kerjasama lain pada masa hadapan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Noor Nabila Mula Intai Lokasi Majlis Perkahwinan Menjelang Hari Bahagia

0
KUALA LUMPUR – Detik melangkah ke gerbang perkahwinan buat personaliti media sosial dan usahawan, Noor Nabila Mohd Noor, 41, dipercayai semakin hampir apabila wanita...

CATEGORIES