Thursday, November 26, 2026
HomeBERITAHampir 8,000 Pengesan Logam Kekang Penipuan Peperiksaan

Hampir 8,000 Pengesan Logam Kekang Penipuan Peperiksaan

SEOUL: Penggunaan cermin mata pintar, kamera mini dan peranti berteknologi tinggi untuk meniru peperiksaan mendorong Korea Selatan memperketat kawalan di sekolah menengah menerusi penyediaan hampir 8,000 pengesan logam.

Langkah itu turut disertai cadangan hukuman lebih berat, termasuk buang sekolah dan larangan menduduki peperiksaan kemasukan universiti sehingga 10 tahun bagi pelajar yang melakukan kesalahan serius.

Kementerian Pendidikan mengumumkan langkah berkenaan kelmarin menjelang peperiksaan akhir tahun sekolah menengah, susulan kebimbangan teknologi kecerdasan buatan (AI) boleh menjejaskan integriti penilaian akademik.

Menurut laporan Korean Herald, kerajaan merancang mengagihkan 7,989 pengesan logam kepada 2,387 sekolah menengah di seluruh negara, dengan setiap sekolah menerima tiga unit.

Pelajar akan menjalani pemeriksaan sebelum atau selepas peperiksaan, termasuk pemeriksaan tambahan selepas menggunakan tandas. Beg pula perlu diletakkan sekurang-kurangnya 50 meter dari bilik peperiksaan.

Pengawas turut diarahkan memeriksa cermin mata dan pakaian pelajar bagi mengesan peranti tersembunyi, manakala rangkaian Wi-Fi sekolah akan dimatikan dan isyarat tanpa wayar dipantau.

Langkah itu bukan sekadar perancangan apabila beberapa sekolah sudah mula memperketat kawalan.

Sepanjang 2026, tiga kes penipuan menggunakan cermin mata pintar dikesan dalam peperiksaan sekolah menengah.

Malah, lima calon turut ditangkap menggunakan cermin mata pintar, kamera mini dan fon telinga tanpa wayar ketika Ujian Keupayaan Skolastik Kolej (Suneung) minggu lalu. Kesemua lima calon itu sudah dirujuk untuk siasatan jenayah.

Pelajar yang didapati meniru menggunakan peranti pintar boleh diberikan markah sifar bagi semua mata pelajaran yang diduduki pada hari sama, selain berdepan tindakan disiplin termasuk penggantungan atau dibuang sekolah.

Kementerian Pendidikan turut merancang meminda Akta Pendidikan Tinggi bagi melanjutkan tempoh larangan menduduki peperiksaan kemasukan universiti daripada setahun kepada sehingga 10 tahun bagi kesalahan serius, selain memperkenalkan ganjaran kepada pemberi maklumat dan hukuman penjara sehingga lima tahun.

Sumber – Utusan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

4 Tips Kendalikan Ayam Mentah Untuk Elak Keracunan Makanan

0
KUALA LUMPUR – Ayam mentah perlu dikendalikan dengan berhati-hati kerana ia boleh membawa bakteria yang menyebabkan keracunan makanan, terutamanya jika tidak disimpan atau dimasak...

CATEGORIES