KUALA LUMPUR – Penemuan seekor buaya di Sungai Klang menarik perhatian ramai apabila beberapa individu merakam video reptilia itu sebelum tular di media sosial.
Video berkenaan dikongsikan di platform threads oleh pengguna yang menggunakan nama epilogkehidupan94 dengan keterangan ayat berunsurkan gurauan.
“Gorgon (buaya) Sungai Klang. Laki siapa ini, kutip bawa balik,” katanya di aplikasi itu.
Tinjauan di ruang komen mendapati video itu mengundang pelbagai reaksi netizen, termasuk ada menyangka reptilia itu adalah suntingan kecerdasan buataan (AI).
“Ramai orang ingat ni AI. Padahal sepanjang Sungai Klang dan Damansara hingga ke Kuala Lumpur, pihak berkuasa meletak papan tanda gambar buaya dengan amaran,” kata pengguna yang nama alifafiq141.
Malah, ada juga yang meluahkan kebimbangan kerana sungai itu menjadi antara lokasi tumpuan kaki pancing.
“Risau juga, budak-budak ramai memancing di benteng Sungai Klang.
“Lagi-lagi cuti sekolah Disember ini, memang ramai pelajar sekolah datang memancing,” kata hafizbeanrahman.
Seorang lagi pengguna menggunakan nama ikinjer berkata, memang ada dua atau tiga buaya di kawasan itu.
“Ada kalanya, jika bernasib baik ketika melepak di Kika Cafe berhampiran kawasan itu (lokasi penemuan buaya), boleh nampak buaya berenang dengan tenang,” katanya.
Sementara itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kuala Lumpur ketika dihubungi memaklumkan, pihaknya sudah membuat semakan dengan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan setakat ini tidak menerima sebarang aduan awam berhubung penemuan buaya di Sungai Klang.
Sumber – Berita Harian





