PUTRAJAYA – Menyaksikan filem terbaharunya, Takluk 2: OP Daulat sebenarnya mengingatkan semula pelakon Kamal Adli terhadap kenangan pahit yang dilalui ketika berdepan kemelut rumah tangga yang akhirnya membawa kepada perceraian dengan bekas isteri, Uqasha Senrose, Januari lalu.
Belum pun sempat merawat luka perceraian, Kamal sebenarnya terpaksa mengetepikan semua perasaan itu apabila bergegas ke Kuantan, Pahang untuk menyambungpenggambaran filem Takluk 2: OP Daulat pada malam sama selepas selesai urusan dimahkamah tanpa sempat bertemu dengan ahli keluarganya.
Lebih sukar, dia perlu berdepan kru produksi dan rakan pelakon dalam keadaan emosi yangmasih bercelaru, namun memilih untuk menyembunyikan kesedihan dengan bergurau sertamenceriakan suasana di lokasi penggambaran.
“Selepas selesai urusan tengah hari itu (di mahkamah) dan berjumpa rakan media, saya terus bergerak ke Kuantan untuk masuk ke set penggambaran pada malam itu juga.
“Saya sendiri buntu memikirkan cara untuk mengatasi perasaan ketika itu dan berdepan dengan semua orang di lokasi penggambaran.
“Bagaimanapun, saya gembira dan bersyukur kerana seluruh pasukan produksi serta rakan pelakon melayan saya seperti biasa, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku,” katanya.
Kamal berkata demikian ketika ditemui pada malam gala dan tayangan perdana filem Takluk 2: OP Daulat di GSC IOI City Mall di sini, malam tadi.
Berkongsi cara mengatasi kesedihan sepanjang penggambaran, Kamal mengambil inisiatif menceriakan suasana dengan banyak bergurau dan berjenaka bersama kru serta rakan pelakon.
“Kadang-kadang ada juga rasa terkilan apabila bersendirian, tetapi saya tidak boleh terlalu melayan perasaan kerana tidak mahu orang lain di set pula terpaksa menjaga hati saya.
“Jadi, saya memilih untuk menjadi individu yang menceriakan suasana dengan bergurau dan membuat kecoh di lokasi, walaupun dalam hati hanya Tuhan yang tahu.
“Saya memang sangat menantikan filem Takluk 2: OP Daulat ini dan tidak mahu masalah peribadi mengganggu fokus serta penghayatan watak,” katanya.
Mengulas lanjut, Kamal berkata, pihak produksi memberi ruang kepadanya untuk berehat sekiranya tidak mampu meneruskan penggambaran pada hari berkenaan.
Bagaimanapun, pelakon berusia 40 tahun itu memilih untuk meneruskan penggambaran demi memenuhi komitmen yang sudah dipersetujui.
Kamal dan Uqasha sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 12 Januari lalu.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 di Janda Baik, Pahang dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang dilahirkan pada 27 April 2024.
Dalam perkembangan lain, Kamal membintangi filem Takluk 2: OP Daulat, sekuel kepada Takluk: Lahad Datu yang ditayangkan pada 2024.
Filem arahan Zulkarnain Azhar itu kembali dengan skala aksi ketenteraan lebih besar menerusi kerjasama strategik dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Diinspirasikan daripada peristiwa sebenar Operasi Daulat 2013, filem itu meneruskan legasi naskhah pertama dengan membawa penonton menyelami fasa seterusnya konflik pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.
Selain Kamal, filem yang mula ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai Khamis ini turut menampilkan barisan pelakon popular lain, antaranya Syafiq Kyle, Datuk Remy Ishak, Fadlan Hazim, Datuk Eman Manan, Nas-T, Luqman Hafidz, Taufiq Hanafi, Anas Ridzuan dan Sara Ali.
Sumber – Kosmo! Online





