KUALA LUMPUR – Kerajaan Turkiye belum bersedia mempertimbangkan penerimaan 10,000 pelarian Rohingya dari Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan secara rasmi oleh kerajaan Turkiye kepadanya dua hari lepas, dengan alasan negara berkenaan kini menampung lebih empat juta pelarian dari negara Arab dan beberapa negara jiran.
“Turkiye antara negara yang paling banyak menampung pelarian di dunia, jadi apabila mereka menyatakan belum bersedia, kita menghormati keputusan itu. Kita telah memaklumkan perkara ini kepada Timbalan Perdana Menteri dan insya-Allah, pada Jumaat ini saya akan membawanya kepada Jemaah Menteri.
“Kementerian Luar juga telah dimaklumkan bahawa dasar kita (menempatkan pelarian di negara ketiga) adalah betul, namun ada negara yang belum bersedia,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang ingin tahu sama ada kerajaan Turkiye bersetuju menerima pelarian Rohingya dari Malaysia.
Anwar menjelaskan kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Jumaat lepas dibuat berdasarkan usaha Malaysia mencari negara ketiga untuk menempatkan sebahagian pelarian kerana negara tidak berkemampuan menampung jumlah yang begitu ramai.
Sumber – BERNAMA





