KUALA LUMPUR – Kemenangan Zarra Zhaf dan pengiktirafan yang diberikan kepada aktres Indonesia, Aghniny Haque, pada Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) tidak seharusnya dipertikaikan kerana kedua-duanya memang layak berdasarkan kemampuan lakonan yang ditampilkan.
Pelakon Siti Khadijah Halim berkata, bakat Zarra dan Aghniny menghidupkan watak dalam filem Khadam tidak perlu diragui, malah pengiktirafan diterima kedua-dua pelakon itu mencerminkan keupayaan mereka dalam bidang seni.
Siti Khadijah yang turut membintangi filem berkenaan bersama kedua-dua pelakon itu berkata, kemenangan Zarra menerusi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik membuktikan kematangan lakonan luar biasa biarpun masih muda.
Begitu juga Aghniny yang menerima Anugerah Khas Juri, apabila bakat aktres dari Indonesia itu tidak seharusnya dinilai berdasarkan kewarganegaraan, sebaliknya kemampuan menghayati watak.
“Saya tahu perkara ini sensitif kerana kita mengiktiraf Aghniny. Namun, saya rasa dia memang wajar menerima anugerah itu kerana bakatnya.
“Kita ketepikan soal kewarganegaraan kerana bakatnya memang tidak dinafikan sangat bagus dalam Khadam.
“Untuk Zarra pula, saya rasa mungkin tahun ini ada sedikit perbezaan dari segi had umur. Dia juga memang seorang pelakon yang sangat bagus.
“Saya bekerja dengan Zarra dan tidak dinafikan dia bukan seperti kanak-kanak seusianya. Dia seperti sebaya saya dari segi kematangan lakonan, cara melafazkan dialog dan berkomunikasi dengan orang dewasa,” katanya.
Siti Khadijah ditemui pada majlis pelancaran UTV Nusantara dan lagu Janji Untuk Setia di sini, semalam.
Siti Khadijah mengakui bangga melihat Zarra membawa pulang kemenangan itu, apatah lagi dia menyaksikan sendiri kemampuan pelakon remaja berkenaan sepanjang menjayakan filem Khadam.
Katanya, Zarra sudah dianggap seperti anak buah sendiri, malah kejayaan pelakon muda itu turut memberikan kegembiraan kepadanya.
“Saya sendiri bangga apabila Zarra berada dalam kategori itu dan menang. Saya sudah anggap seperti anak buah sendiri.
“Hitam dan Putih sangat dekat dengan saya dan saya bangga dengan mereka. Walaupun Karl tidak dapat membawa pulang kemenangan, tidak mengapa kerana kakaknya sudah membawa pulang anugerah. Saya gembira untuk mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Siti Khadijah berkata, kemenangan seseorang pelakon tidak seharusnya dipertikaikan kerana setiap kejayaan mempunyai ketentuan dan rezeki tersendiri.
Katanya, peluang untuk meraih pengiktirafan akan tiba pada waktu yang tepat, justeru setiap individu perlu menerima keputusan dengan hati terbuka.
“Saya cuma nak cakap satu saja. Kita makan nasi pun makanan boleh terjatuh daripada mulut. Jadi, rezeki itu akan datang pada waktu yang tepat.
“Kalau itu rezeki Zarra, sudah tertulis memang rezeki dia. Kalau rezeki orang lain, mungkin lain kali.
“Jadi, kalau boleh kita jangan pertikaikan soal rezeki kerana apa yang datang, sama ada baik atau buruk, adalah daripada Allah,” katanya.
Filem Khadam yang dibintangi Siti Khadijah, Aghniny dan Zarra turut mencipta kejayaan apabila membolot sembilan anugerah termasuk dinobatkan sebagai Filem Terbaik pada FFM35.
Sumber – Berita Harian





