SHAH ALAM – Empat lelaki Myanmar dipenjara selama enam bulan, manakala seorang lelaki tempatan didenda RM42,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah memiliki dan mengendalikan 4.84 tan minyak masak bersubsidi yang merupakan barang kawalan.
Hakim Ainul Bashirah Dona Don Biyajid memerintahkan hukuman penjara itu terhadap tertuduh, Tin Saw Oo, 21; Pyae Phyo Maung, 21; Ko Lin, 36, dan Kyaw San Linn, 37, bermula tarikh mereka ditahan pada 14 Julai lalu.
Mahkamah juga mengarahkan warga tempatan yang juga pemandu lori, Moo Teck Lim, 50, dipenjara 12 bulan jika gagal membayar denda terbabit.
Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa secara bersama memiliki 4,845 kilogram minyak masak bersubsidi dalam keadaan menimbulkan syak munasabah dengan mengendalikan barang kawalan itu secara borong tanpa lesen di sebuah premis di Bandar Pinggir Subang, Seksyen U5 pada jam 3.30 petang, 14 Julai lalu.
Mereka didakwa mengikut Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu premis di Bandar Pinggir Subang dan menahan lima lelaki itu kerana disyaki terbabit dalam kegiatan penyelewengan minyak masak bersubsidi pada 14 Julai lalu.
Mereka dipercayai menjalankan kegiatan memindahkan minyak masak bersubsidi daripada paket ke dalam tong dengan cara menggunting paket berkenaan.
Hasil serbuan itu, pihak berkuasa merampas 4,845 kilogram minyak masak, sebuah lori dan peralatan dipercayai digunakan untuk memindahkan minyak masak paket ke dalam tong dengan nilai rampasan dianggarkan RM124,652.50.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa KPDN, Sallim Wahid, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.
Sumber – Berita Harian





