KUALA LUMPUR – Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, terpaksa menerima jahitan di kepala selepas terjatuh akibat tergelincir di lantai tandas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi tadi.
Menerusi hantaran di Facebook, Jamawi berkata, kejadian berlaku ketika beliau menggunakan tandas berhampiran Bilik Bunga Mawar di kawasan menunggu VIP KLIA.
Katanya, lantai tandas yang licin menyebabkan beliau tergelincir sebelum kepalanya terhantuk pada lantai.
“Sebenarnya, ia kemalangan kecil ketika saya menggunakan tandas berhampiran Bilik Bunga Mawar di kawasan menunggu VIP KLIA.
“Lantai tandas yang licin menyebabkan saya tergelincir dan kepala terhantuk pada lantai,” katanya.
Beliau berkata, beberapa kenalan yang terserempak dengannya di lapangan terbang dalam keadaan kepala berbalut tuala berdarah turut menghubunginya untuk bertanyakan apa yang berlaku.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap itu turut merakamkan penghargaan kepada doktor dan jururawat di Menara Medical Clinics KLIA yang memberikan rawatan serta menjahit luka di kepalanya.
Jamawi berkata, beliau turut menasihatkan pihak Malaysia Airports supaya menambah baik keadaan lantai tandas serta laluan kecemasan ke klinik berhampiran.
Katanya, kakitangan lapangan terbang juga perlu diberikan latihan sewajarnya bagi memastikan mereka mampu memberikan bantuan kecemasan dengan segera.
Jamawi dijadualkan meneruskan perjalanan ke Kota Kinabalu pada jam 1.05 tengah hari selepas selesai lawatan kerja di Brasilia, Brazil.
Sumber – Berita Harian





