PETALING JAYA – Kesal dikhianati, penyanyi Shiha Zikir mengingatkan semua syarikat rakaman agar lebih berhati-hati dalam melahirkan bakat baharu selepas mendakwa dirinya dikhianati oleh individu yang pernah dibantu sebelum ini.
Shiha atau nama sebenarnya Nurshiha Mohd. Zikir berkata, sikapnya yang terlalu mudah memberi peluang dan mempercayai kata-kata manis daripada individu terbabit akhirnya memakan dirinya semula.
“Kepada semua syarikat rakaman, nak cari penyanyi baru, hati-hati. Kadang-kadang kita sudah bantu sehabis baik, tetapi akhirnya di belakang, haaa ambil kau.
“Salah saya juga sebab senang sangat beri peluang, mudah sayang dan percaya 100 peratus dengan kata-kata manis ‘akaklah cahaya bagi saya’,” katanya dalam satu hantaran media sosial.
Dalam pada itu, pelantun lagu AEWO tersebut akhirnya bersyukur apabila segala bukti mengenai perbuatan individu tersebut terbongkar dengan sendiri tanpa perlu dicari.
“Allah Maha Adil. Sekejap saja dapat bukti semua tu tanpa kita cari. Allah lorongkan manusia-manusia lain untuk tiba-tiba diberi info tentang benda ni.
“Ingat, kalau nak jadi penyanyi, kena ada sikap yang bagus,” katanya lagi.
Tambahnya, dia turut terkilan apabila usaha memberikan pendedahan (exposure) kepada individu tersebht tetap dipertikaikan di belakangnya disebabkan terpengaruh dengan kata-kata rakan yang tidak mempunyai pengalaman dalam selo-belo dunia hiburan.
“Ini tidak, untuk ‘exposure’ pun rupa-rupanya berbunyi di belakang. Kemudian boleh dengar cakap kawan-kawan yang tidak ada pengetahuan dalam bidang ini
“Mulalah dari bawah dan usaha perlahan-lahan. Jangan banding dengan orang lain yang perangai bagus, rajin serta sudah lama dalam industri,” ujarnya.
Shiha juga sempat menitipkan pesanan agar mana-mana pendatang baharu menghargai jasa dan pengorbanan pihak yang telah banyak berusaha membantu mengambangkan kerjaya seni mereka.
“Paling penting, jadilah manusia yang pandai kenang budi individu yang sudah berusaha macam-macam untuk awak,” tuturnya.
Bagaimanapun, Shiha tidak menyatakan nama mana-mana pihak atau individu termasuk artis baharu dalam hantaran yang meraih pelbagai respons daripada orang ramai itu.
Sumber – KOSMO! ONLINE





