KUALA LUMPUR – Pernah bekerjasama dalam sebuah naskhah, aktres berpengalaman, Yasmin Hani mengakui pelakon muda, Zarif Ghazzi mempunyai keperibadian yang sangat baik.
Yasmin atau nama penuhnya Yasmin Hani Ismail Richardson, 47, memaklumkan Zarif banyak menghabiskan masa bersama barisan pelakon lelaki lain semasa menjalani penggambaran naskhah KUDRAT 1968: High Council sebelum ini.
“Masa dekat set, saya tak banyak sangat jumpa dia sebab dia memang lepak dengan geng lelaki saja.
“Geng lelaki tak lepak dengan kita, veteran lepak dengan veteran. Tapi bila kita buat siri jelajah, dia ada sempadan atau jaga ‘halal gap’.
“Dia pun sangat berbudi bahasa dan baik. Kalau nak melambai macam ala-ala Miss World,” katanya kepada Kosmo! Online semasa majlis karpet merah Nona Gala Awards 2026, semalam.
Sebagai anak seni yang berpengalaman, pelakon filem Duyung itu berharap agar kontroversi yang membelenggu Zarif ketika ini dapat diselesaikan dengan segera.
Malah, dia juga berharap pelakon muda itu agar mengelak daripada membaca sebarang komen negatif di media sosial demi menjaga kesihatan mental.
“Awak perlu berhadapan dan menghadapi perkara ini. Saya pun pernah juga hadapi isu tapi tak ada isu besar begini.
“Mungkin sebab nama dia sangat besar sekarang. Kalau kita dulu, nama naik perlahan-lahan. Berbeza dengan zaman sekarang, zaman sosial media.
“Harapnya isu ini dapat diselesaikan. Buat masa ini, dia kena bertenang, jangan baca komen-komen.
“Jika ada pengurus, biar mereka yang kemas kini keadaan sekarang. Jika tidak, tak perlu baca untuk kesihatan mental awak, terlalu melampau untuk awak tahu,” ujarnya.
Sebelum ini, nama Zariff dikaitkan dengan dakwaan pelakon Puteri Balqis meluahkan rasa kurang senang terhadap sikap seorang pelakon lelaki yang didakwa sengaja bergesel dengannya ketika menjayakan babak lakonan bersama.
Syarikat produksi Global Film Station Sdn. Bhd. bersedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung isu melibatkan Puteri Balqis dan Zarif.
Semalam, Zarif mengambil tindakan undang-undang dengan membuat laporan polis dan melantik peguam susulan dakwaan salah laku yang dikaitkan dengannya sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.
Menerusi satu kenyataan rasmi pihak pengurusan, Zarif menegaskan bahawa dia tidak pernah melakukan sebarang perbuatan seperti yang didakwa, selain menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang dikaitkan dengan dirinya.
Bagaimanapun, Puteri Balqis atau mesra disapa Aqish mendedahkan sudah bersedia dengan dokumen lengkap setebal 20 muka surat beserta bukti kukuh termasuk rakaman video berhubung dakwaan gangguan seksual yang membabitkan seorang pelakon lelaki di set penggambaran sebuah drama.
Sumber – Kosmo! Online





