PETALING JAYA – Teka-teki mengenai siapa yang bakal menyarung sut ejen perisik ikonik British akhirnya terjawab apabila bintang Hollywood, Robert Pattinson sah diumumkan sebagai James Bond yang baharu.
Pengumuman rasmi dibuat Amazon MGM Studios, sekali gus menamatkan spekulasi berbulan-bulan mengenai pengganti Daniel Craig bagi menerajui watak ejen perisikan MI6 yang penuh karisma itu.
Pattinson, 40, yang sebelum ini mencuri tumpuan menerusi watak adiwira dalam filem The Batman, menyifatkan peluang tersebut sebagai detik paling bermakna dalam kerjaya seninya.
“Diberikan kepercayaan untuk membawakan watak 007 merupakan penghormatan terbesar sepanjang hidup saya dan bagaikan satu impian yang menjadi kenyataan,” katanya dalam satu kenyataan ringkas.
Pemilihan aktor kelahiran Britain itu turut mendapat reaksi segera daripada keluarga diraja Britain yang memuat naik ucapan tahniah di laman media sosial rasmi mereka berbunyi:
“Selamat datang ke Perkhidmatan Rahsia Baginda, Mr Bond.”
Menerusi pelantikan tersebut, Pattinson berjaya mengetepikan beberapa calon hangat lain termasuk Callum Turner, Josh O’Connor dan Jack Lowden, selain menepis desas-desus sebelum ini kononnya Amazon bakal memilih pelakon kulit hitam atau wanita untuk watak ciptaan Ian Fleming itu.
Pemerhati industri perfileman menyifatkan pemilihan Pattinson sebagai langkah paling selamat dan bijak oleh pihak studio memandangkan statusnya selaku antara bintang paling laris tahun ini menerusi kejayaan filem epik The Odyssey dan thriller psikologi Primetime.
Pengasas laman data perfileman The Numbers, Bruce Nash berkata, pelakon yang mula dikenali menerusi watak pontianak Edward Cullen dalam francais Twilight itu memiliki pakej lengkap dari segi lakonan dan aksi.
“Pattinson memenuhi semua kriteria diperlukan sebuah studio yang mahu memulakan semula francais Bond dengan lancar,” katanya.
Di sebalik keterujaan peminat yang menyambut baik pengumuman itu, ada juga segelintir pihak yang kurang mengenali bintang berkenaan.
Seorang pemandu teksi di London yang hanya dikenali sebagai Jimmy, 59, mengakui terpaksa membuat carian di internet untuk mengetahui latar belakang Pattinson selepas berita itu tular.
“Saya sudah menonton filem Bond sejak 50 tahun lalu, namun semakin kurang berminat kebelakangan ini kerana babak aksi lagak ngerinya dilihat semakin tidak masuk akal,” ujarnya.
Sejak filem Dr. No ditayangkan pada 1962, hanya enam pelakon pernah memegang watak ejen 007 di layar perak termasuk Sean Connery, Roger Moore dan Pierce Brosnan.
Pattinson sebelum ini pernah bekerjasama dengan Villeneuve dalam Dune: Part Three yang dijadual ditayangkan di pawagam pada 18 Disember.
Villeneuve menyambut baik pemilihan Pattinson dengan menyifatkan pelakon British itu mampu membawa dimensi baharu kepada watak legenda berkenaan.
“Dia memiliki jiwa 007 yang tidak lapuk ditelan zaman, selain membawa semangat yang benar-benar baharu. Saya tidak sabar untuk memulakannya,” kata pengarah itu.
Pattinson akan menjadi pelakon ketujuh yang membawakan watak Bond dalam siri filem rasmi itu selepas Sean Connery, George Lazenby, Roger Moore, Timothy Dalton, Pierce Brosnan dan Craig.
Craig kali terakhir membawakan watak berkenaan dalam filem No Time to Die pada 2021, sekali gus menamatkan penglibatannya dalam lima filem Bond yang bermula dengan Casino Royale pada 2006.
Pemilihan Pattinson menandakan lembaran baharu bagi francais itu selepas Amazon MGM Studios memperoleh kawalan kreatif terhadap harta intelek James Bond pada Mac 2025 menerusi perjanjian dengan Barbara Broccoli dan Michael G Wilson yang sekian lama menguruskan francais berkenaan.
Kerusi pengarah filem berkenaan bakal digalas oleh pengarah tersohor Kanada, Denis Villeneuve yang terkenal menerusi naskhah Dune, manakala skrip pula ditulis oleh pencipta siri popular Peaky Blinders, Steven Knight.
Filem James Bond juga membuka lembaran baharu apabila pertama kali diterbitkan bawah kepimpinan kreatif Amazon MGM Studios. Tarikh tayangan filem terbaharu itu masih belum diumumkan, namun dijangka menemui umum pada 2028.
Sumber – AGENSI





