KUALA LUMPUR – Peguam yang mewakili pelawak dan pelakon Harith Iskander dalam kes saman Datin Seri Rosmah Mansor berhasrat untuk menarik diri daripada mewakili selebriti itu.
Perkara itu dimaklumkan peguam Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff yang mewakili Rosmah selaku plaintif ketika dihubungi hari ini selepas pengurusan kes secara dalam talian
Menurut Mohamed Baharudeen, peguam Harith Iskander yang menarik diri itu ialah Sangeet Kaur Deo.
Mahkamah kemudian menetapkan 24 November ini bagi pendengaran permohonan peguam tersebut.
Sementara itu, Sangeet ketika dihubungi mengenai pengesahan penarikan dirinya, itu mengesahkan perkara tersebut.
“Ya, kami memohon untuk menarik diri (discharge) daripada mewakili (Harith Iskander),” katanya ketika dihubungi hari ini.
Pada 9 Jun lalu, Rosmah 75, selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Hafarizam & Aisha Mubarak di Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan Harith Iskander atau nama sebenarnya Harith Iskander Musa, 60, sebagai defendan.
Berdasarkan penyataan tuntutan, Rosmah mendakwa defendan telah mengadakan suatu persembahan komedi berdiri (stand-up comedy) bertajuk “Harith Iskander: The Outspoken Comedy Tour” di hotel terbabit pada 17 Januari lalu lepas, dengan memaparkan imej dan membuat kenyataan fitnah terhadap Rosmah di hadapan sejumlah besar penonton bagi mendapatkan reaksi ketawa serta hiburan daripada orang awam.
“Harith Iskander telah memaparkan imej berkaitan makhluk mitologi seram dalam kepercayaan masyarakat Malaysia termasuk toyol, pontianak dan pocong sebelum memaparkan imej beliau.
“Defendan kemudian telah mengeluarkan kenyataan yang membawa maksud bahawa seseorang yang melihat cermin pandang belakang ketika memandu di jalan gelap akan melihat sesuatu yang menakutkan.
“Selepas itu defendan telah memaparkan imej saya kepada penonton yang secara jelas menggambarkan saya sebagai sesuatu yang menakutkan itu dan mengaitkan saya dengan makhluk seram tersebut,” dakwa Rosmah.
Selain itu, Rosmah berkata seorang pengguna TikTok dikenali sebagai @mayychan0303 telah memuat naik dua rakaman persembahan itu dengan video pertama meraih 219,700 tontonan dan 3,354 tanda suka, manakala video kedua memperoleh 12,500 tontonan dan 145 tanda suka.
Menurut Rosmah, kenyataan fitnah itu adalah berniat jahat untuk menjatuhkan dan merosakkan nama baiknya selain menghinanya dengan mengeluarkan kenyataan berunsur kecaman badan (body shaming).
Justeru Rosmah memohon ganti rugi am, teruk dan teladan selain perintah injunksi yang menghalang defendan atau pembantunya daripada menerbitkan, menerbitkan semula dan menyebarkan kenyataan fitnah tersebut serta membuat permohonan maaf yang tidak bersyarat dan menarik balik kenyataan fitnah secara bertulis yang dipersetujui plaintif dalam dua akhbar arus perdana serta di akaun media sosial yang ditentukan oleh plaintif atau peguamnya.
Sementara itu, Harith Iskander dalam penyataan pembelaannya menafikan paparan tersebut menggambarkan Rosmah adalah makhluk seram, sesuatu yang menakutkan, jahat, hodoh, menjijikkan, tidak berperikemanusiaan atau apa-apa maksud fitnah yang dinyatakan plaintif.
“Penerbitan kenyataan yang didakwa fitnah di dalam Tiktok itu telah dibuat tanpa
pengetahuan atau persetujuan saya dan kenyataan tersebut tidak merangkumi konteks penuh persembahan komedi itu,” dakwanya.
Sumber – KOSMO! ONLINE





