SETIA ALAM – Que Haidar menjelaskan bahawa tindakan Nur Fazura menegurnya dengan panggilan mesra ‘ayang’ menerusi klip video yang tular baru-baru ini hanyalah gurauan antara sahabat lama.
Que atau nama sebenarnya, Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, 47, mengakui dia dan Fazura gemar mengusik dan menyakat antara satu sama lain sejak zaman muda.
“Kami memang suka bergurau sejak zaman muda lagi. Dia (Fazura) berani dan suka sakat, saya pula agak pemalu.
“Jadi, usikan itu memang perkara biasa antara kami sebagai kawan lama,” katanya ditemui pada sesi ramah mesra bersama barisan pelakon drama bersiri terbitan Unifi TV Original, Nak Dengar Cerita Hantu 2 di sini, hari ini.
Que mengakui Fazura antara sahabat wanita yang rapat dengannya ketika ini, apatah lagi mereka pernah beberapa kali bergandingdalam filem sebelum kembali bekerjasama menerusi projek lain.
“Kami bermula sebagai sahabat yang pernah berlakon bersama dalam beberapa filem sebelum ini.
“Apabila saya digandingkan semula dengannya untuk kempen Jakel, saya fikir sangat teruja kerana dia adalah kawan lama.
“Saya selesa bekerja dengannya. Fazura adalah sahabat wanita yang rapat dengan saya ketika ini,” katanya.
Berkongsi mengenai keperibadian Fazura, Que menyifatkan aktres itu sebagai wanita berhati baik, mengambil berat dan tidak banyak berubah meskipun sudah lama mengenalinya.
“Dia seorang berhati baik dan sangat mengambil berat. Keperibadiannya itu tidak pernah berubah sejak dahulu. Dia juga kelakar dan suka mengusik,” katanya.
Sebelum ini, video memaparkan Fazura memanggil Que dengan panggilan mesra berkenaan ketika sesi siaran langsung. mengundang perhatian peminat.
Dalam perkembangan lain, Que membintangi siri seram terbaharu, Nak Dengar Cerita Hantu 2 yang disiarkan menerusi saluran DEGUP Unifi TV sejak 21 September lalu.
Drama lapan episod arahan Wan Hafiz itu turut menampilkan pelakon lain termasuk Datuk Adi Putra, Zizan Razak, Riena Diana, Puteri Sarah, Pekin Ibrahim, Chacha Maembong, Arfie Shah, Julia Farhana dan Ezzaty Abdullah.
Sumber – Berita Harian





