BANGKOK – Pihak berkuasa mengharamkan sebuah buku teks mengenai Thailand atas alasan keselamatan negara, dengan penyuntingnya yang hidup dalam buangan berkata hari ini bahawa buku itu dilarang kerana kandungannya menyentuh keluarga diraja Thai.
Keluarga diraja memegang status yang sangat tinggi dalam masyarakat Thai dan dilindungi daripada kritikan oleh undang-undang fitnah (lese-majeste) yang ketat.
Buku berjudul Routledge Handbook of Contemporary Thailand edisi kedua yang diterbitkan dalam bahasa Inggeris Ogos lalu itu disunting oleh Pavin Chachavalpongpun. Beliau ialah seorang akademik terkemuka dan pengkritik monarki Thai yang menetap di Jepun.
Buku itu menyentuh mengenai monarki Thailand pada abad ke-21 dan penggunaan undang-undang lese-majeste oleh kerajaan.
Perintah yang ditandatangani Ketua Polis Thailand, Samran Nualma dan dikeluarkan semalam menyatakan bahawa buku itu mengandungi artikel yang ‘menjejaskan keselamatan negara dan boleh menyebabkan keresahan dalam negara’.
“Kandungannya juga menjejaskan keselamatan kerajaan, ketenteraman awam atau moral rakyat,” demikian menurut perintah itu.
Polis diberi kuasa untuk merampas dan memusnahkan buku tersebut, tambahnya.
Sesiapa yang didapati bersalah mengimport atau mengedarkan buku itu berdepan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda maksimum 60,000 baht (RM7,266) atau kedua-duanya sekali.
Dalam satu kenyataan di laman Facebook hari ini Pavin berkata, buku itu diharamkan ‘kerana ia padat dengan maklumat mengenai institusi beraja’.
Dalam hantaran berasingan pula, beliau mengucapkan terima kasih kepada Polis Diraja Thailand kerana ‘membantu mempromosikan buku tersebut’.
“Dalam era media sosial dan internet, larangan seperti ini tidak berkesan. Orang ramai mungkin mengabaikan salinan cetak dan mendapatkan buku elektroni (e-buku),” katanya
Sumber – AFP





