Friday, October 16, 2026
HomePERNIAGAANMBI Selangor Lancar SA500, Super NINE, Sokong Perniagaan

MBI Selangor Lancar SA500, Super NINE, Sokong Perniagaan

KUALA LUMPUR – Kontraktor yang melaksanakan projek Kerajaan Negeri Selangor akan mempunyai akses lebih baik kepada pembiayaan bagi menguruskan aliran tunai, manakala penduduk boleh mengakses perkhidmatan negeri melalui satu platform digital tunggal menerusi pelancaran Selangor Advance 500 (SA500) dan Aplikasi Super NINE, hari ini.

Inisiatif itu yang disampaikan menerusi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor), cabang pelaburan strategik negeri, telah dilancarkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari pada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2026, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Amirudin berkata, SA500 akan membantu kontraktor mengekalkan operasi projek sementara menunggu pembayaran, manakala NINE akan menyediakan platform digital tunggal untuk mengakses perkhidmatan kerajaan negeri, termasuk urusan pihak berkuasa tempatan dan bantuan negeri.

“Kedua-dua inisiatif ini mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Negeri, memudahkan urusan perniagaan dan rakyat, terutamanya ketika keadaan global masih tidak menentu.

“Bagi perniagaan, SA500 bermakna kontraktor yang menjalankan kerja untuk Selangor, tidak perlu menghentikan kerja sementara menunggu bayaran. Bagi rakyat pula, NINE bermaksud satu aplikasi dan satu tempat untuk berurusan dengan negeri, daripada urusan majlis sehinggalah kepada bantuan negeri,” katanya semasa majlis pelancaran itu.

SA500 memperluas Selangor Advance, program pembiayaan rantaian bekalan patuh Syariah negeri yang dikuasakan oleh CapBay, yang membantu kontraktor dan pembekal merapatkan jurang aliran tunai antara kerja yang disiapkan, pengeluaran invois dan penerimaan bayaran.

Program itu menyasarkan kira-kira 500 syarikat dan kontraktor yang terbabit dalam projek yang dilaksanakan kerajaan negeri, pejabat daerah dan tanah, pihak berkuasa tempatan, badan berkanun negeri serta anak syarikat negeri, dengan sokongan peruntukan sebanyak RM200 juta daripada dana pusingan sedia ada Selangor Advance.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Selangor, Datuk Ts Saipolyazan M Yusop, berkata program itu, mencerminkan peranan organisasi itu dalam menjana nilai yang mampan daripada sumber negeri.

“MBI Selangor wujud untuk menukar sumber negeri menjadi nilai yang berkekalan. Selangor Advance menggerakkan dana yang sama berulang kali dan SA500 kini membawa model yang terbukti itu kepada lebih ramai kontraktor di seluruh negeri,” katanya.

Pengarah Selangor Advance, Ang Xing Xian, berkata inisiatif itu, menangani cabaran biasa yang dihadapi oleh pemain yang lebih kecil dalam rantaian bekalan.

“Bagi kebanyakan kontraktor dan pembekal, bahagian yang paling sukar bukanlah memenangi kerja itu, tetapi menunggu untuk dibayar. Selangor Advance menutup jurang itu dengan menukar kontrak dan invois yang layak kepada modal pusingan, melalui proses digital yang patuh Syariah,” katanya.

Kemudahan pembiayaan tersebut merangkumi pembiayaan invois dan pemfaktoran, bon pelaksanaan dan jaminan, kredit pusingan dan pembiayaan berjangka, serta surat sokongan tender, surat aku janji dan surat kredit.

Kesemua kemudahan itu distrukturkan berdasarkan konsep Syariah Tawarruq, dengan kelayakan, jumlah pembiayaan dan terma tertakluk kepada penilaian oleh rakan pembiayaan.

Sementara itu, NINE telah ditetapkan sebagai satu-satunya aplikasi super Selangor berkuat kuasa 1 Sept 2026, yang menyediakan platform digital tunggal untuk perkhidmatan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan, bantuan kebajikan, pembayaran digital, perkhidmatan mobiliti serta tawaran komersial.

Dibangunkan oleh MBI Selangor melalui anak syarikatnya Selangor E-Wallet Sdn Bhd, aplikasi itu adalah saluran rasmi untuk subsidi pengangkutan awam bulanan RM30 negeri, yang telah diperluas kepada perkhidmatan KTM Komuter pada 1 Okt.

Pengguna platform CEPat sedang dipindahkan ke NINE secara berperingkat mulai 15 September, menjelang penamatan perkhidmatan CEPat pada 31 Disember tahun ini.

Kedua-dua inisiatif itu menyokong Rancangan Selangor Kedua (RS-2), pelan tindakan pembangunan lima tahun negeri, yang bertujuan meletakkan Selangor sebagai Negeri Model ASEAN untuk Pertumbuhan Saksama dan Kualiti Hidup untuk Semua menjelang 2030.

Sumber – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Kes Pegawai AKPS Dibunuh Suami, Warga Agensi Ucap Takziah

0
SEREMBAN - Pimpinan dan warga Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) mengucapkan takziah kepada keluarga seorang pegawai wanita agensi itu yang maut dipercayai dibunuh...

CATEGORIES