Friday, October 16, 2026
HomeHIBURANZul Ariffin Tak Kecewa Tercicir Daripada Senarai Calon FFM35

Zul Ariffin Tak Kecewa Tercicir Daripada Senarai Calon FFM35

KUALA LUMPUR – Pelakon Zul Ariffin tidak kecewa apabila namanya tidak tercalon dalam mana-mana kategori Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35), sebaliknya menganggap anugerah sebagai bonus dalam kerjaya seni, dengan mutu lakonan tetap menjadi keutamaan.

Zul atau nama lengkapnya, Zulkifli Ariffin, 40, berkata, selagi masih diberi kepercayaan oleh pihak produksi untuk menjayakan sesebuah karya dan hasil kerjanya diterima penonton, perkara itu sudah cukup untuk membuatkannya bersyukur.

“Bagi saya, anugerah hanyalah bonus dalam kerjaya sebagai pelakon. Ia bukan perkara utama kerana yang lebih penting ialah mutu lakonan yang kita persembahkan kepada masyarakat.

“Kita mahu menghasilkan yang terbaik. Kita buat filem untuk tontonan masyarakat dan menjadi hiburan buat mereka.

“Jadi, kalau ada pencalonan, Alhamdulillah. Kalau tiada pun, masih Alhamdulillah. Saya tidak akan terlalu kecewa kerana sudah beberapa tahun saya berpegang pada pendirian itu.

“Pada usia sekarang, apabila masih ada produksi yang mahu mengambil khidmat saya dan penonton masih menerima hasil kerja saya, itu sudah cukup membuatkan saya bersyukur,” katanya.

Beliau ditemui pada tayangan perdana filem Pemuja Syaitan di TGV Suria KLCC, di sini, hari ini.

Bintang filem Sheriff: Narko Integriti itu berkata, dia tidak pernah menjadikan anugerah sebagai matlamat utama kerana terlalu mengharapkan pengiktirafan hanya akan mengundang kekecewaan sekiranya harapan tidak kesampaian.

Sebaliknya, Zul menegaskan, perkara yang sentiasa dikejarnya adalah peningkatan mutu kerja dari semasa ke semasa, selain kesediaan menerima teguran bagi memperbaiki kelemahan dalam lakonan.

“Sejak bila pula saya mengejar anugerah? Apa yang saya kejar ialah peningkatan mutu kerja dari semasa ke semasa. Kalau kita terlalu mengejar anugerah, itu sebenarnya resipi untuk mengecewakan diri sendiri.

“Saya akui pernah menerima anugerah sebanyak dua kali. Perasaan itu memang menyeronokkan dan dalam masa sama memberikan motivasi, tetapi bukan bermakna selepas menang, lakonan kita terus sempurna.

“Pengarah tetap boleh menegur kita. Bukannya selepas menerima trofi, tiba-tiba pengarah tidak boleh memberikan teguran,” katanya.

Mengulas kekecewaan segelintir pelakon yang tidak mendapat pencalonan atau pengiktirafan diharapkan, Zul berkata, dia memahami perasaan berkenaan, namun berpendapat perkara itu tidak seharusnya diberikan perhatian berlebihan sehingga menjejaskan mutu kerja.

Katanya, pelakon perlu melihat diri sebagai sebahagian daripada pasukan produksi yang bersama-sama menjayakan sesebuah karya, bukannya meletakkan kepentingan peribadi sebagai keutamaan.

“Saya faham mungkin ada pelakon yang kecewa apabila tidak menerima pencalonan atau pengiktirafan yang diharapkan. Tetapi perkara itu tidak boleh diberikan ruang terlalu besar dalam fikiran kerana boleh mengganggu mutu kerja kita.

“Kita ini pelakon dan bukan semua perkara perlu berpusat kepada diri sendiri. Dalam sesebuah produksi, kita hanyalah sebahagian daripada pasukan yang besar,” katanya.

Dalam pada itu, Zul yang pernah membawa pulang trofi FFM menerusi edisi ke-26 dan ke-31 turut menegaskan, pengiktirafan dalam industri perfileman sewajarnya mengambil kira sumbangan kru produksi yang bekerja keras di belakang tabir.

Malah, pelakon itu berpandangan, cabaran yang dihadapi kru berkenaan tidak kurang besarnya berbanding pelakon yang berada di hadapan kamera.

“Kalau boleh, saya mahu semua anugerah diberikan kepada pasukan yang bekerja di belakang kamera kerana mereka sebenarnya bekerja jauh lebih keras daripada kami.

“Kadang-kadang, kalau saya hendak bercakap mengenai cabaran dalam sesebuah karya pun, saya berasa segan kerana kerja mereka di belakang tabir lebih mencabar.

“Kalau saya menerima anugerah, Alhamdulillah. Tetapi pengiktirafan itu tetap mahu saya dedikasikan kepada mereka yang bekerja lebih keras di belakang kamera. Bagi saya, merekalah wira sebenar dalam industri ini,” katanya.

Terdahulu, ketiadaan nama Zul dalam senarai pencalonan FFM35 mencuri perhatian apabila empat filem lakonannya, iaitu Malam Terlarang, Tarung: Unforgiven, The Furious dan Magik Rompak, tercalon dalam festival berkenaan.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Kalau Tawaran Tak Jadi Maklum, Tiada Siapa Akan Marah’ – Catriona...

0
PETALING JAYA – Pelakon Catriona Ross menegur sikap segelintir pihak produksi yang didakwa gagal menjaga adab dan profesionalisme ketika berurusan dengan pelakon khususnya berkaitan...

CATEGORIES