LIVERPOOL – Penyerang Manchester City, Erling Haaland menegaskan skuadnya akan terus bersatu selepas mencatat kemenangan 3-0 ke atas Liverpool yang beraksi dengan 10 pemain, ketika kelab itu berdepan isu pelanggaran peraturan kewangan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Haaland membuka jaringan di Anfield awal pagi tadi sebelum Jeremy Doku dan Rayan Cherki menambah gol bagi memastikan City menundukkan Liverpool, sekali gus mendiamkan sorakan penyokong tuan rumah yang mengejek mereka susulan keputusan siasatan terhadap kelab itu.
City tidak menunjukkan tanda terjejas dengan kecaman berkenaan dalam aksi pertama mereka selepas sebuah suruhanjaya bebas mendapati kelab itu bersalah melanggar lebih 100 peraturan kewangan.
Kelab yang kini mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu berdepan kemungkinan dikenakan pemotongan mata besar-besaran, yang boleh membawa kepada penyingkiran ke liga bawahan atau pelucutan gelaran.
Bagaimanapun, Haaland menegaskan persembahan bersemangat di gelanggang seteru tradisi mereka membuktikan komitmen pemain terhadap City masih utuh.
“Setiap individu yang menjadi sebahagian daripada Manchester City, termasuk semua penyokong, akan mengingati detik indah ini untuk tempoh yang lama.
“Ia bukan mudah, tetapi kami menunjukkan karakter luar biasa dari barisan pertahanan hingga serangan. Saya sangat bangga dengan semua orang. Beraksi di sini sentiasa sukar.
“Penting untuk kekal kuat dari segi mental, terus bersatu dan melakukan perkara yang mampu kami kawal. Kami boleh bermain bola sepak dengan baik dan berjuang bersama-sama. Itu saja yang mampu kami lakukan,” kata Haaland.
City turut mendapat kelebihan apabila pemain tengah Liverpool, Ryan Gravenberch dilayangkan kad merah selepas menerima dua kad kuning, sejurus sebelum Haaland membuka jaringan.
City kemudian menguasai permainan untuk meraih kemenangan yang membolehkan mereka melebarkan jurang kepada tiga mata di puncak EPL.
Namun, kemampuan mereka meneruskan cabaran memburu kejuaraan masih menjadi persoalan berikutan kemungkinan hukuman yang bakal dikenakan.
Haaland berkata pemain hanya mampu menumpukan perhatian terhadap prestasi di atas padang, manakala pemilik kelab yang berpangkalan di Abu Dhabi menguruskan implikasi perundangan susulan keputusan berkenaan.
“Anda mahu memenangi perlawanan, itu saja. Beraksi dengan baik, bermain bola sepak berkualiti dan menang. Ini pertempuran mental.
“Saya bangga kerana kami berjaya terus bersatu dan membuktikan kekuatan mental. Banyak lagi perlawanan menanti, jadi kami perlu pulih sebelum kembali beraksi,” katanya.
Pemain tengah City, Elliot Anderson turut mempamerkan aksi tenang dalam penampilan pertamanya menentang Liverpool selepas menyertai kelab itu dari Nottingham Forest pada jendela perpindahan musim panas.
Pemain antarabangsa England itu senada dengan Haaland mengenai semangat berpasukan yang menjadi kunci kemenangan mereka.
“Semangat kebersamaan dan perjuangan sangat penting. Ini gelanggang yang sukar, tetapi kami terus bersatu dan berjuang demi satu sama lain. Kami menunjukkan keberanian.
“Suasana di Anfield lebih luar biasa daripada biasa, terutama ketika kami tiba dan sepanjang 10 minit pertama perlawanan.
“Kami berjaya meredakan sorakan penyokong. Kami bergelut pada babak pertama, tetapi tampil lebih baik selepas rehat sebelum jaringan mula terhasil,” kata Anderson.
Sumber – Berita Harian





