Monday, October 12, 2026
HomeBERITASultan Ibrahim Dikurniakan Darjah Kebesaran Awam Tertinggi Jordan

Sultan Ibrahim Dikurniakan Darjah Kebesaran Awam Tertinggi Jordan

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, hari ini berkenan menerima Darjah Kebesaran Al Hussein Ibn Ali, iaitu darjah kebesaran awam tertinggi yang dianugerahkan oleh Kerajaan Jordan.

Darjah kebesaran itu dikurniakan oleh Raja Jordan, Raja Abdullah II, pada istiadat pengurniaan yang berlangsung di Dewan Seri Maharaja, Istana Negara, di sini, selepas pertemuan empat mata antara Sultan Ibrahim dan Raja Abdullah II di Dewan Seri Negara.

Menurut Istana Diraja Hashemite, Darjah Kebesaran Al Hussein Ibn Ali dianugerahkan kepada Raja, putera dan ketua negara sebagai pengiktirafan terhadap kedudukan mereka.

Darjah kebesaran itu adalah antara anugerah diraja Jordan yang dikurniakan kepada tokoh terkemuka antarabangsa serta individu yang diiktiraf atas pencapaian dan sumbangan mereka.

Raja Abdullah II kini dalam rangka lawatan negara selama dua hari ke Malaysia yang bermula semalam, atas jemputan Sultan Ibrahim.

Terdahulu Sultan Ibrahim turut berkenan mewasalkan Darjah Utama Seri Mahkota Negara (DMN) kepada Raja Jordan Raja Abdullah II.

Istiadat berkenaan turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan serta tetamu kehormat lain.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Luar Negeri dan Ekspatriat Jordan Ayman Safadi serta pegawai kanan dari Istana Diraja Hasyimiah dan Kerajaan Jordan.

DMN yang diwartakan pada 21 Ogos 1958 adalah antara darjah kebesaran Persekutuan yang boleh dikurniakan secara kehormat kepada Raja, Sultan, Permaisuri, putera dan puteri diraja serta ketua negara asing.

Terdahulu, Raja Abdullah II diberikan sambutan negara di Dataran Kawad Istana Negara sempena lawatan negara Baginda yang bermula semalam.

Baginda turut dijadual menerima menghadap Anwar di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, sebelum mengakhiri lawatan negara ke Malaysia.

Malaysia dan Jordan menjalinkan hubungan diplomatik secara rasmi sejak 1965.

Sementara itu, ketika mengalu-alukan keberangkatan Raja Abdullah II, Sultan Ibrahim menzahirkan keyakinan bahawa Malaysia dan Jordan akan terus memperkukuh kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang, termasuk perdagangan, pelaburan dan pendidikan demi manfaat bersama rakyat kedua-dua negara.

Baginda bertitah hubungan persahabatan yang sudah lama terjalin antara kedua-dua negara adalah berteraskan nilai bersama, sikap saling menghormati serta komitmen untuk memelihara institusi diraja dan warisan masing-masing.

Seri Paduka Baginda bertitah kedua-dua institusi diraja mempunyai warisan sejarah yang kaya, dengan keluarga diraja Jordan mempunyai susur galur keturunan daripada Nabi Muhammad SAW, manakala Kesultanan Johor memainkan peranan penting dalam membentuk adat resam dan tradisi Melayu yang berteraskan nilai Islam.

“Walaupun berakar umbi daripada latar belakang sejarah dan budaya berbeza, kedua-dua institusi diraja ini berkongsi warisan sama dalam memelihara khazanah warisan, mempertahankan institusi masing-masing serta berkhidmat kepada rakyat sejak turun-temurun,” titah Seri Paduka Baginda.

Sultan Ibrahim turut menyentuh keakraban hubungan peribadi antara kedua-dua Raja yang terbina hasil pengalaman masing-masing menjalani latihan ketenteraan, yang menurut Seri Paduka Baginda menjadikan persahabatan mereka lebih istimewa.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Syed Saddiq Semai Cinta, Jaminan Masa Depan Untuk Bella Astillah

0
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memilih hadiah luar biasa buat isterinya, Bella Astillah, termasuk simpanan persaraan bernilai RM100,000,...

CATEGORIES