PETALING JAYA – Penerbit dan pengarah Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM), Puan Sri Tiara Jacquelina terkilan apabila kira-kira 22,000 peminat gagal mendapatkan tiket pementasan epik itu yang kembali dipentaskan selepas 20 tahun.
Tiara berkata, pihaknya menerima pelbagai rayuan daripada peminat yang sanggup melakukan apa saja, termasuk duduk di tangga, asalkan berpeluang menyaksikan naskhah berkenaan.
“Ada yang merayu dan sanggup berdiri atau duduk di tangga asalkan dapat menonton.
“Terus-terang saya rasa sangat bersalah dan kasihan kepada 22,000 orang yang beratur dalam talian.
“Kalaulah dewan itu milik kami, sudah tentu kami mahu masukkan semua orang. Tetapi sayangnya ada pementasan lain yang menanti sejurus selepas PGL,” katanya.
Lebih mencuit hati, Tiara sendiri hanya berjaya mendapatkan satu tiket untuk suaminya, Tan Sri Effendi Norwawi.
“Saya sendiri hanya berjaya membeli satu tiket untuk suami saya. Yang lain saya ingat mahu beli kemudian.
“Satu tiket itu saya beli sekadar mahu mencuba apabila talian dibuka. Tidak sangka rupanya saya tidak sempat membeli tiket yang lain,” katanya.
Tiara turut mengakui terharu dan sukar mempercayai PGLM mencipta sejarah tersendiri apabila 23,000 tiket habis terjual dalam tempoh hanya dua jam selepas jualan dalam talian dibuka.
“Kalau sesuatu itu bagus, pasti akan bertahan lama. Ini buktinya apabila 23,000 tiket terjual dalam masa dua jam.
“Tidak pernah berlaku di Malaysia untuk apa-apa pertunjukan sekali pun. Itu bukti masih ada orang yang mahu menonton PGLM,” katanya.
Dalam pada itu, susulan sambutan luar biasa peminat serantau, Tiara mendedahkan pihaknya kini dalam perbincangan awal untuk membawa PGLM ke Singapura.
Katanya, peminat dari republik itu turut meluahkan kekecewaan kerana tidak sempat mendapatkan tiket menerusi media sosial.
“Di media sosial, peminat dari Singapura turut bising dan mengadu tidak sempat merebut tiket.
“Dulu sewaktu kami ke Esplanade, pementasan mencatatkan full house sehingga terpaksa ditambah dua persembahan lagi.
“Sebenarnya kami sedang berbincang dengan pihak sana untuk melihat kemungkinan membawanya ke sana. Namun, pementasan sebesar ini bukan mudah untuk dipindahkan.
“Jika ada rezeki, insya-Allah,” katanya.
Pementasan PGLM kali ini bakal mencatat lembaran baharu apabila dipentaskan di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC), Sunway Square, yang disifatkan Tiara sebagai antara dewan teater paling canggih di Malaysia.
Menurut Tiara, JCPAC dilengkapi teknologi terkini selain menawarkan keselesaan visual yang optimum dari setiap sudut tempat duduk.
PGLM akan dipentaskan dari 31 Oktober hingga 15 November ini.
Sumber – Berita Harian





