Friday, October 9, 2026
HomeBERITAJerebu: Semua Sekolah Seliaan JHEAINS Ditutup

Jerebu: Semua Sekolah Seliaan JHEAINS Ditutup

SEREMBAN – Semua institusi pendidikan lslam di bawah seliaan dan kawal selia Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) diarahkan tutup, bermula hari ini berikutan peningkatan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 180.

Menurut JHEAINS, pihaknya menjunjung kasih atas keprihatinan dan titah Yang di-Pertuan Agong berhubung keselamatan serta kesihatan murid susulan keadaan jerebu.

“Arahan ini membabitkan sekolah menengah agama negeri, sekolah agama swasta, maahad tahfiz, institusi pengajian pondok, Sekolah Agama Rakyat, Kelas aI-Quran dan Fardu Ain (KAFA) serta Kelas Agama Petang di premis Kementerian Pendidikan (KPM).

“Semua institusi pendidikan Islam yang terjejas dikehendaki melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PPR) melalui kaedah yang bersesuaian,” katanya dalam kenyataan di sini tengah malam tadi.

Menurut JHEAINS, sesi PPR mengambil kira kemampuan, akses dan keperluan murid, serta kesiapsiagaan guru bagi memastikan kesinambungan proses pengajaran dan pembelajaran.

“Bagi murid institusi tahfiz serta pondok yang memilih untuk tidak pulang dan terus menetap di asrama, pihak pengurusan institusi hendaklah memastikan langkah keselamatan serta penjagaan kesihatan dilaksanakan dengan sewajarnya.

“Langkah itu termasuk mengehadkan aktiviti di luar bangunan, memastikan pemakaian pelitup muka dan pengambilan air minuman yang mencukupi, selain memantau tahap kesihatan serta kebajikan murid,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, semua pentadbir institusi pendidikan Islam hendaklah memastikan pelaksanaan arahan itu berjalan dengan teratur, serta memberi pemakluman jelas kepada ibu bapa dan penjaga.

“Guru sekolah menengah agama negeri dan guru KAFA lantikan JHEAINS juga dibenarkan untuk bekerja dari rumah (BDR),” katanya.

Sumber – KOSMO! ONLINE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Lakon Watak Anak Dajal, Sejujurnya Memang Sangat Takut’ – Acha Septriasa

0
BUKAN calang-calang pelakon sanggup mengerah emosi dan fizikal demi menjayakan sesebuah naskhah seram, apatah lagi apabila perlu membawa watak sebagai sekutu Iblis. Bagi bintang Indonesia,...

CATEGORIES