SHAH ALAM – Pelakon Janna Nick mengakui sengaja merahsiakan pengajian Master of Arts in Filmmaking di United Kingdom (UK) yang diikutinya di United Kingdom selama setahun kerana bimbang terkena penyakit ain.
Menurut Janna, 31, dia memilih pendirian tersebut kerana enggan perjalanannya menyambung oengajian terganggu dan berkongsi kepada umum hanya selepas menerima keputusan cemerlang diraihnya.
“Kalau cakap tentang tahap takut, saya tidak mahu kongsi fasal sambung pelajaran ini sebab takut kena penyakit ain.
“Setahun saya tak cerita apa-apa sehinggalah dapat keputusan. Walaupun saya selalu buat konten media sosial dan tentang kehidupan kami di sana, saya tak kongsikan tentang pergi belajar.
“Kalau perkara yang memang saya inginkan, memang saya elak buat sebarang konten media sosial,” katanya ketika ditemui pada acara Meet & Greet bersama calon Anugerah Melodi Terhangat 2026 di sini, semalam.
Tambahnya, hanya rakan terdekat mengetahui dia menyambung pengajian, manakala peminat tidak mengetahui bidang mahupun perjalanan yang dilaluinya sepanjang berada di luar negara.
“Kawan terdekat tahu saya sambung belajar, tapi peminat tidak.
“Mereka tahu saya sambung belajar tapi tak tahulah saya sambung apa, bidang apa, macam mana perjalanan dia.
Dalam pada itu, dia memberitahu sudah kembali ke tanah air selepas berjaya menamatkan pengajian dengan keputusan cemerlang.
“Saya sudah berjaya menamatkan pengajian dalam bidang perfileman di UK dengan keputusan cemerlang.
“Jadi sekarang sudah dua minggu saya pulang ke Malaysia cuma nanti saya akan ke sana semula untuk majlis graduasi.
“Alhamdulillah penat lelah saya berbaloi. Saya tak sangka semua ini sebenarnya tetapi syukur Allah SWT izinkan untuk perkara ini terjadi,” katanya lagi.
Dia juga tidak menafikan mempunyai perancangan untuk meneruskan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) pada masa akan datang.
“Ada perancangan, selepas dapat keputusan, saya terus cari tempat yang boleh sambung PhD.
“Tidak tahu lagi sama ada nak sambung di Malaysia atau sebaliknya. Kalau ada rezeki lebih, kita pergi ke tempat lain,” ujarnya.
Sejak September tahun lalu, Janna kerap berkongsi kehidupan baharu di London, England bersama suaminya yang juga pelakon Dini Schatzmann.
Dia bagaimanapun dilihat kurang berkongsi mengenai kehidupannya sebagai pelajar sebaliknya lebih terbuka memuat naik konten mengenai kehidupan sebagai rakyat Malaysia di sana.
Sumber– KOSMO! ONLINE





