GUA MUSANG – Hancur hati dua beradik apabila ibu yang dinanti untuk menjemput mereka pulang dari sekolah tidak kunjung tiba, sebaliknya mereka menerima berita duka apabila insan tersayang itu meninggal dunia akibat kemalangan.
Nur Arissa Najla Mohd Shazuam, 13, dan Nur Amani Nuwairah Mohd Shazuam, 15, menanti penuh sabar selepas ibunya, Nor Hasyikim Daud, 34, berjanji mengambil mereka pulang dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Chiku.
Nur Arissa Najla berkata, dia menerima berita kemalangan itu daripada seorang rakan ketika menunggu pada 1.40 tengah hari.
“Ibu ada maklumkan akan ke Gua Musang dengan rakannya dan berjanji mengambil saya serta kakak dari sekolah.
“Pada hari kejadian, saya menduduki tiga kertas peperiksaan dan sangat teruja untuk memberitahu ibu yang saya boleh jawab semua soalan subjek Sejarah.
“Lebih setengah jam menanti ibu, namun tidak kunjung tiba, sebaliknya saya terima berita ibu kemalangan.
“Saya nampak bapa saudara datang menjemput kami,” katanya ketika ditemui di Felda Chiku 5 di sini.
Dalam kejadian Ahad lalu, Nor Hasyikim maut di lokasi kejadian apabila kenderaan dipandunya bertembung dengan lori 10 tan di Kilometer 40 Jalan Gua Musang-Kuala Krai.
Mangsa meninggal dunia akibat tersepit, manakala rakannya di tempat duduk penumpang hadapan cedera parah.
Allahyarham turut meninggalkan seorang bayi Nur Aireen Nisrina berusia 11 bulan.
Sementara itu, kakak kepada Nor Hasyikim, Siti Noraeshah Daud, 39, berkata, tiga beradik itu akan dijaga ibunya dengan bantuan adik-beradik lain.
“Sejak setahun lalu arwah membesarkan tiga anaknya dengan bekerja di kantin asrama SMK Bandar Chiku.
“Selepas ini kami akan bersama-sama menjaga dan membesarkan tiga anak perempuan arwah,” katanya.
Orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh menyalurkan ke akaun Bank CIMB milik Siti Noraeshah Daud bernombor 7601845122.
Sumber – Berita Harian





