Thursday, October 1, 2026
HomeHIBURANElla Pesan Jadi Diri Sendiri Selepas Lebih Empat Dekad Dalam Industri Muzik

Ella Pesan Jadi Diri Sendiri Selepas Lebih Empat Dekad Dalam Industri Muzik

KUCHING – Ratu Rock, Ella Aminuddin terharu apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Sri Wirama pada Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-25, yang disifatkannya sebagai penghargaan cukup bermakna selepas lebih empat dekad mewarnai industri muzik tanah air.

Penganugerahan berprestij itu diberikan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan, perjuangan dan pencapaian cemerlang penyanyi berusia 60 tahun itu sepanjang perjalanan kariernya dalam industri muzik tempatan dan rantau ini.

Ella atau nama sebenarnya, Nor Zila Aminuddin, mengakui tidak pernah menyangka perjalanan panjangnya sebagai anak seni, termasuk menghasilkan karya dan menghiburkan peminat, akhirnya membawa kepada pengiktirafan sedemikian.

“Saya terharu dan bersyukur. Sebagai insan yang kecil, apabila menerima anugerah ini, sudah tentu saya berterima kasih kerana karya dan muzik saya diterima di hati peminat.

“Kalau kita minat dengan apa yang kita lakukan, ia adalah satu tanggungjawab yang besar, malah kita akan gembira dan tidak rasa ia membebankan.

“Kalau kita ada minat yang mendalam dalam industri dan kerjaya, kita akan dapat melangkah dengan lebih bersemangat,” katanya.

Mengimbas perjalanan lebih empat dekad dalam industri muzik, Ella berkata, minat, kecintaan terhadap muzik dan sokongan peminat menjadi antara kekuatan yang mendorongnya untuk terus berkarya sehingga hari ini.

Berkongsi pandangan mengenai perkembangan industri muzik tanah air, Ella melihat landskap muzik tempatan semakin berkembang dan bergerak pantas seiring perubahan zaman, selain menyaksikan kemunculan ramai bakat baharu.

“Industri muzik semakin maju, bertambah laju dan banyak lagi karya yang bagus. Saya fikir, teruskan sahaja, terbanglah tinggi.

“Siapa yang rasa dia bagus dan berbakat, jadikan perkara ini sesuatu yang serius dan jangan berputus asa. Kalian boleh lakukannya, insya-Allah,” katanya.

Ella turut menitipkan pesanan kepada generasi baharu supaya berani membina identiti sendiri dalam berkarya, tanpa terlalu terikat untuk meniru gaya artis yang menjadi idola.

Menurutnya, menjadikan penyanyi atau artis lain sebagai sumber inspirasi bukan sesuatu yang salah, namun, setiap anak seni perlu mengenal pasti kekuatan, karakter dan keunikan diri sendiri.

“Kalau mahu menjadi seseorang, awak perlu menjadi diri sendiri. Tak perlu mencari atau meniru 100 peratus gaya yang awak minati.

“Awak boleh menjadikan mereka sebagai inspirasi, tetapi awak kena cari apa yang ada dalam diri sendiri. Awak perlu lihat betul-betul dan awak boleh cipta apa yang awak suka,” katanya.

Ella yang berasal dari Gelugor, Pulau Pinang memulakan perjalanan seni bersama kumpulan Ella & The Boys sekitar 1985 sebelum memilih untuk bergerak solo pada 1988.

Album solo pertamanya, Pengemis Cinta yang diterbitkan pada 1989, diikuti Puteri Kota dan Identiti pada 1990, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara penyanyi rock wanita popular tanah air.

Pada 1992, Ella melancarkan album 30110 yang mencetuskan fenomena menerusi lagu seperti Sembilu, Layar Impian dan Kitalah Bintang, sekali gus mengukuhkan lagi namanya dalam persada muzik tempatan.

Ella turut mencipta sejarah apabila merakamkan album Ella USA di Amerika Syarikat (AS) pada 1994, sebelum meneruskan perjalanan seni menerusi beberapa album lain termasuk El (1999), Ilham Bicara (2001), Simbiosis (2003), Rama-Rama (2007) dan Peace.Love.Rindu (2017).

Selain muzik, Ella turut mengembangkan bakat dalam bidang lakonan apabila membintangi beberapa filem seperti Bayangan Maut (1991), Pemburu Bayang (1993) dan Hanya Kawan (1997).

Pada AIM Ke-7 pada 2000, Ella turut mencipta pencapaian apabila memenangi kategori Rakaman Album Terbaik menerusi album El.

Pengiktirafan Anugerah Sri Wirama pada AIM25 melengkapkan satu lagi bab penting dalam perjalanan seni Ella yang terus bertahan dan relevan merentasi beberapa generasi peminat.

Pada 2017, Ella menerima trofi Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0 atas sumbangan besarnya kepada industri muzik.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Isu Pelarian Myanmar, Menjaga Keselamatan Dan Kepentingan Rakyat Jadi Keutamaan

0
KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memastikan usaha menangani isu pelarian Myanmar dilaksanakan dengan mengutamakan keselamatan dan kepentingan rakyat Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri...

CATEGORIES