Friday, September 25, 2026
HomeHIBURANRamai Hasilkan Lagu Sendiri, Cuma Jangan Perlekehkan Komposer Lama

Ramai Hasilkan Lagu Sendiri, Cuma Jangan Perlekehkan Komposer Lama

Industri muzik tempatan terus melalui fasa perubahan apabila semakin ramai penyanyi kini memilih untuk menghasilkan karya sendiri, sekali gus memperlihatkan perkembangan positif dalam melahirkan generasi pengkarya yang lebih versatil.

Perkembangan tersebut disambut baik penyanyi dan komposer, Amir Jahari yang melihat keberanian artis untuk mencipta karya sendiri sebagai satu kemajuan, namun mengingatkan agar kemampuan itu tidak menjadi alasan untuk mengetepikan pengalaman serta kepakaran pengkarya terdahulu.

“Saya gembira kerana saya sendiri mengajar orang menulis lagu. Saya seronok melihat perkembangan sekarang apabila semakin ramai artis menghasilkan lagu sendiri.

“Cuma saya berharap artis-artis baharu yang berada dalam industri jangan perlekehkan komposer lama, penulis lirik atau pencipta melodi yang sudah lama berada dalam industri. Jangan sisihkan mereka.

“Apabila kita lebih banyak berkolaborasi dengan komposer di luar lingkungan kita, sebenarnya karya itu boleh menjadi lebih menarik dan terbuka,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam masa sama, Amir turut menegaskan kebebasan menghasilkan karya sendiri tidak seharusnya dijadikan tembok untuk seseorang artis membuka ruang kepada idea atau sentuhan pengkarya lain secara meluas.

“Memang benar seorang penyanyi dan penulis lagu biasanya akan memikirkan penjenamaan serta pemasaran sendiri bersama pasukan mereka. Jadi, mungkin agak sukar untuk menerima unsur luar.

“Contohnya, seorang penyanyi pop mungkin merasakan komposer beraliran tradisional tidak sesuai dengan muziknya. Tetapi mungkin bagi artis seperti Mimi Fly, karya itu boleh menjadi sesuai. Sebab itu saya rasa kita perlu lebih terbuka kepada semua penulis lagu di luar sana.

“Jangan apabila kita rasa sudah pandai menulis lagu, kita terus menutup ruang untuk berkolaborasi dengan orang lain. Penulis lagu baharu dan lama, kedua-duanya ada masalah masing-masing kerana manusia memang mempunyai ego.

“Bagi saya, cukuplah kita menjadi manusia yang baik dan terbuka menerima cadangan atau pandangan orang lain. Tidak salah untuk mendengar. Mana tahu keterbukaan itu boleh membawa muzik Malaysia ke peringkat global. Kita tidak tahu,” jelasnya.

Empat bulan ‘dalam gua’

Dalam pada itu, Amir memaklumkan kini dia memilih untuk memperlahankan langkah daripada hiruk-pikuk kehidupan sosial buat seketika demi menumpukan perhatian terhadap album keempatnya yang kini masih dalam proses pembikinan, sejak April lalu.

Kata penyanyi lagu Hasrat, pengasingan dirinya dari dunia luar itu juga menjadi permulaan buat dirinya mengembangkan lagi bakat dan kebolehan dalam industri muzik yang tidak tertumpu pada nyanyian semata.

“Sebenarnya sepanjang berada dalam ‘gua’, saya belajar menggunakan DaVinci Resolve dan DaVinci Studio. Saya belajar mengenai pembikinan filem, colour grading dan bookbinding. Saya belajar macam-macam kerana semua itu juga satu bentuk terapi buat saya. Jadi, apabila saya kata duduk dalam ‘gua’, bukan bermaksud saya takut dengan manusia.

“Saya cuma mahu mengasingkan diri daripada gangguan dan memberikan fokus kepada album keempat serta melakukan aktiviti terapi. Saya mahu melalui proses itu dengan baik,” katanya.

Amir bagaimanapun turut menjelaskan keputusannya untuk mengasingkan diri dari bersosial kerana bimbang dengan lambakan perkara negatif yang terpampang secara hujung jari sejak kebelakangan ini.

“Saya bukan tidak selesa dengan manusia. Saya okey sahaja dengan orang. Cuma sekarang, kalau boleh saya mahu melalui satu tempoh pengasingan. Saya rasa dunia sekarang terlalu terdedah kepada ‘dopamine hit’.

“Kita sentiasa meliha perkara yang tidak memberikan apa-apa manfaat sehingga tidak sedar masa terbuang. Bagi saya, perkara itu agak berbahaya. Lebih-lebih lagi apabila saya mempunyai tiga orang anak yang sedang membesar dan mereka juga akan terdedah kepada perkara seperti itu.

“Itu yang sangat saya risaukan. Sebab itu saya menghantar mereka ke sekolah yang lebih menekankan aspek praktikal dan pembelajaran secara kendiri berbanding sekolah biasa. Saya tidak mahu mereka terdedah kepada perkara seperti itu terlalu awal. Kalau mahu didedahkan sekalipun, biarlah dalam keadaan yang terkawal,” ujarnya.

Sumber – Utusan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Warga China Mengaku Salah, Cuba Curi Dompet Di Dalam Pesawat

0
BALIK PULAU - Seorang lelaki warna China mengaku bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan cuba mencuri dompet daripada beg galas milik seorang...

CATEGORIES