Friday, September 25, 2026
HomeBERITAPenumpang Panjat Pagar KTMB Berkunci, Kerana Kakitangan Ada Hal Kecemasan

Penumpang Panjat Pagar KTMB Berkunci, Kerana Kakitangan Ada Hal Kecemasan

KUALA LUMPUR – Pintu pagar stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad ( KTMB) Anak Bukit yang masih berkunci sehingga jam 6:30 pagi tadi menyebabkan beberapa penumpang bertindak memanjat pagar untuk memasuki stesen berkenaan.

Kenyataan penjelasan yang dikeluarkan dari pihak KTMB – Threads

Kejadian itu tular selepas seorang pengguna memuat naik gambar dan video beberapa individu memanjat pagar stesen berkenaan di media sosial pagi tadi.

Berdasarkan hantaran dimuat naik itu, pemilik akaun Threads, ‘ashirahzakri’ memaklumkan, beberapa individu sempat menaiki tren, namun ada juga yang tidak sempat walaupun selepas memanjat pagar berkenaan.

“Ada yang sempat, saya selaku wanita yang lemah tak sempat tetapi (ada) yang berjaya lompat pagar pun tren berlalu pergi,” tulisnya.

Sementara itu, KTMB dalam hantaran berkenaan memaklumkan, kakitangannya yang ditugaskan pada waktu itu tiba-tiba berdepan hal kecemasan.

“Hai. Mohon maaf atas kesulitan yang dialami. Terdapat kecemasan yang tidak dapat dielakkan membabitkan kakitangan yang ditugaskan pada waktu tersebut.

“Walau bagaimanapun, tindakan segera diambil dan pintu masuk stesen sudah dibuka oleh kakitangan gantian bagi memastikan operasi dapat diteruskan seperti biasa,” tulisnya.

Katanya, KTMB memandang serius perkara berkenaan dan akan mengambil langkah penambahbaikan yang sewajarnya.

“Sekali lagi, KTMB memohon maaf atas kesulitan yang berlaku,” katanya.

Luahan dari seorang penumpang yang menaiki KTMB

Dalam kenyataan dikeluarkan kemudian, KTMB memaklumkan seramai 25 penumpang terjejas dan tidak dapat menaiki dua perkhidmatan komuter di Stesen Anak Bukit kerana pintu masuk lambat dibuka pagi tadi.

“Berdasarkan siasatan awal, Stesen Anak Bukit sepatutnya mula beroperasi jam 5.30 pagi. Bagaimanapun, kakitangan yang dijadualkan bertugas untuk membuka stesen tidak dapat melapor diri pada waktu ditetapkan atas faktor kesihatan.

“Selepas dimaklumkan jam 5.55 pagi bahawa pintu masuk stesen masih belum dibuka, pegawai bertugas cuba menghubungi kakitangan berkenaan, namun tidak berjaya,” katanya.

Beliau berkata, tindakan segera diambil dengan mengarahkan seorang kerani kaunter dari stesen berhampiran yang dijadualkan bertugas jam 7 pagi untuk hadir lebih awal ke Stesen Anak Bukit.

“Kakitangan berkenaan tiba jam 6.30 pagi dan pintu masuk utama stesen dibuka. Berdasarkan semakan awal, dianggarkan seramai 25 penumpang terjejas.

“Mereka tidak dapat menaiki dua perkhidmatan KTM Komuter iaitu Tren 2901 dan Tren 2903 yang masing-masing dijadualkan berlepas dari stesen Anak Bukit jam 5.58 pagi dan 6.18 pagi,” katanya.

KTMB memohon maaf kepada semua penumpang terjejas atas kesulitan yang berlaku.

“KTMB memandang serius kejadian ini memandangkan akses ke stesen perlu tersedia mengikut waktu operasi ditetapkan khususnya bagi memastikan kelancaran perjalanan penumpang yang menggunakan perkhidmatan awal pagi.

“Siasatan lanjut sedang dilaksanakan bagi mengenal pasti punca kejadian dan tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan prosedur ditetapkan.

“KTMB kekal komited bagi memastikan aspek keselamatan, keselesaan dan kepentingan penumpang sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Pembantu Jurujual Dituduh Tipu Pakej Umrah Persendirian RM35,736

0
BALIK PULAU - Pembantu jurujual dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan memperdaya seorang individu berhubung pakej umrah persendirian membabitkan kerugian...

CATEGORIES