Tuesday, September 22, 2026
HomeBERITAMurid Lambat Belajar Tidak Semestinya Kurang Pintar - Penganalisis KRI

Murid Lambat Belajar Tidak Semestinya Kurang Pintar – Penganalisis KRI

KUALA LUMPUR – Murid yang lambat membaca atau mengambil masa untuk memahami pelajaran tidak semestinya kurang pintar. Setiap murid belajar pada kadar berbeza, dan kepantasan belajar bukan satu-satunya ukuran kecerdasan serta potensi mereka.

Penyelidik Khazanah Research Institute (KRI), Dr Yunus Yasin, berpandangan setiap individu mempunyai perjalanan pembelajaran berbeza yang tidak semestinya mengikut satu pola seragam, termasuk lengkung pembelajaran berbentuk S yang sering digunakan untuk menggambarkan perkembangan seseorang.

Dalam tulisan KRI Views bertajuk Curves, Paths, and Paradoxes: Rethinking How Individuals Learn, Yunus mengimbas pengalaman sendiri ketika sekolah rendah apabila beliau tidak dianggap pintar kerana mengalami kesukaran membaca, dengan matanya bergerak tidak menentu pada halaman sehingga perkataan kelihatan berselerak.

Beliau kemudian menemui kaedah sendiri dengan meletakkan dua pembaris pada halaman bagi menutup baris di atas dan bawah, sekali gus membolehkannya memberi tumpuan kepada satu baris pada satu masa. Walaupun proses itu memenatkan, teknik berkenaan secara beransur-ansur membolehkannya membaca secara berdikari.

Bertahun kemudian, Yunus mendapati anak perempuan seorang rakannya di San Francisco yang didiagnosis disleksia diajar menggunakan teknik hampir sama oleh gurunya, sekali gus membuatkan beliau mempersoalkan berapa ramai kanak-kanak mungkin tidak mendapat pendekatan pembelajaran yang sesuai dengan keperluan masing-masing.

Lengkung S secara ringkas menggambarkan pembelajaran yang bermula perlahan, kemudian meningkat lebih pantas selepas beberapa percubaan atau latihan, sebelum kadar kemajuan kembali mendatar apabila seseorang semakin menguasai sesuatu kemahiran. Namun, Yunus berkata gambaran yang kelihatan lancar itu lazimnya muncul apabila corak pembelajaran ramai individu dipuratakan.

“Pembelajaran sering digambarkan sebagai satu lengkung S yang lancar. Namun, pengalaman saya dan ramai yang lain menunjukkan sebaliknya. Pembelajaran individu berlaku secara berperingkat, dengan lonjakan kemajuan secara tiba-tiba dan tempoh mendatar,” katanya.

Menurut Yunus, masalah timbul apabila corak purata itu dianggap mewakili setiap murid kerana seseorang mungkin kelihatan tidak banyak berkembang untuk satu tempoh sebelum tiba-tiba menunjukkan lonjakan kefahaman. Beliau memetik peringatan ahli psikologi Peter Molenaar bahawa generalisasi berlebihan boleh membawa kepada salah tafsir, diagnosis dan intervensi yang kurang tepat.

Pandangan mengenai kecerdasan juga, menurut tulisan itu, tidak seharusnya terhad kepada kepantasan penaakulan abstrak seperti yang biasanya dinilai melalui ujian IQ. Yunus memetik pandangan ahli psikologi Philip Ackerman bahawa kecerdasan turut dibentuk oleh pengetahuan terkumpul, pengalaman hidup dan kepakaran dalam bidang tertentu.

“Ketekunan, personaliti dan minat sama penting, atau mungkin lebih penting daripada kebolehan mentah,” menurut tulisan itu, yang menekankan bahawa pendidikan, kerjaya dan motivasi peribadi turut membentuk kepakaran serta prestasi seseorang dari semasa ke semasa.

Justeru, Yunus berpandangan sistem pendidikan perlu menyediakan laluan dan kaedah pembelajaran lebih pelbagai, termasuk Teknik Feynman serta pembelajaran berasaskan projek, selain memberi perhatian kepada penilaian awal cabaran pembelajaran seperti autisme, gangguan kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD) serta disleksia.

Beliau bagaimanapun menegaskan pendekatan lebih fleksibel tidak bermakna asas seperti tatabahasa, operasi asas matematik, ketekunan, kesabaran dan rasa ingin tahu perlu diketepikan.

“Pembelajaran bukan garis lurus atau lengkung universal, tetapi satu laluan yang dibentuk secara unik oleh setiap individu. Walaupun destinasi sama, laluan ke arahnya boleh berbeza,” katanya.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Saya Bawa Nama Mama, Kalau Tak Pandai Berlakon Memalukan’ – Azeva

0
SEJAK menyertai program realiti Talk To My Manager musim kedua (TTMM2), nama Azeva mendapat tempat dalam hati peminat seni tanah air. Menamatkan saingan di kedudukan...

CATEGORIES